Quantcast
Channel: EdisiRakyat
Viewing all 888 articles
Browse latest View live

PPIM nafi bantu doktor gigi YouTube kumpul dana RM70,000

$
0
0
PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIam) dilapor menafikan dakwaan bahawa ia telah membayar wang denda sebanyak RM70,000 bagi membebaskan doktor gigi palsu Nur Farahanis Ezatty Adli dari hukuman penjara.

Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dipetik sebagai berkata l, NGO berkenaan tidak ada kaitan dengan pembayaran denda tersebut ataupun mengumpul dana untuk gadis berusia 20 tahun itu.

"NGO yang bantu bayar denda itu bukan PPIM. Kami terkejut apabila dituduh membantu gadis itu membayar denda mahkamah sebanyak RM70,000"

"Kami disalah petik dalam laporan dan video yang tular mendakwa PPIM yang membayar denda tersebut," katanya dalam satu sidang media semalam.

Tambahnya lagi dana berkenaan dikumpul oleh sebuah kelab motosikal dengan bantuan sebuah lagi NGO Persatuan Aktivis Ekonomi Islam Malaysia (PPIEM).

Nur Farahanis dilepaskan daripada penjara selepas melalui hukuman selama 6 hari daripada enam bulan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya kerana gagal membayar denda sebanyak RM70,000.



Katanya lagi ahli-ahli PPIM sangat sedih dengan tuduhan dan serangan yang diterima dari netizen.

"Selepas media melaporkan kami yang membantu dia membayar denda, kami terima banyak ulasan dan kata-kata kasar dari netizen. Kami sedih kerana kebanyakan mereka salah faham apa yang kami perjuangkan sejak 20 tahun lalu,

Kata Nadzim lagi, peranan PPIM di dalam kes berkenaan hanyalah sebagai penasihat perundangan untuk keluarga.

"Kami tidak tawarkan sebarang bantuan kewangan, hanya nasihat perundangan bila kami didatangi oleh ahli keluarganya dan peguam," tambahnya.

Katanya lagi PPIM juga tidak bersetuju dengan tindakan Farhanis menjalankan klinik yang tidak berdaftar.

"Kami terima fakta bahawa dia sangat bijak, kerana dia boleh belajar sendiri daripada video-video YouTube. Tapi ini tidak bermakna kita bersetuju dengan tindakannya mengendalikan kliniknya sendiri,"

Farahanis telah dijatuhkan hukuman denda RM70,000 oleh Mahkamah Seksyen di Melaka pada 29 September kerana menjalankan operasi klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar.



Gadis berusia 20 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan kerana gagal membayar denda yang dijatuhkan oleh mahkamah. — EdisiRakyat.com, 10 Oktober 2017

Denda RM1000 jika lewat daftar kelahiran anak, berkuatkuasa serta merta

$
0
0
DENDA RM1,000 akan dikenakan kepada ibu bapa yang gagal mendaftarkan kelahiran anak-anak mereka dalam jangka masa 60 hari selepas bersalin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata denda berkenaan yang dikuatkuasakan serta-merta bukan bertujuan untuk mengutip hasil, sebaliknya bagi menggalakkan ibu bapa mendaftarkan kelahiran anak mereka dalam jangka masa yang disarankan.

Denda berkenaan sebelum ini sebanyak RM50.

"Kerajaan memutuskan (menaikkan denda) selepas pindaan dibuat kepada Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Akta 299), diluluskan dan diserahkan kepada Dewan Rakyat tahun lalu, yang juga menetapkan bahawa semua kelahiran mesti didaftarkan dalam jangka masa 60 hari, termasuk bayi tidak sah taraf,"

"Ibu bapa tidak patut ambil ringan perkara ini kerana ia berkaitan dengan identiti anak-anak mereka," katanya yang memberitahu wartawan selepas pembukaan cawangan baru Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Simpang Renggam.



Pada bulan Ogos, kerajaan telah melanjutkan tempoh lewat daftar kelahiran dari 42 hari kepada 60 hari, untuk memberi masa kepada ibu tunggal menghabiskan tempoh berpantang sebelum mendaftar anak yang baru dilahirkan.

"Di Semenanjung Malaysia, tidak ada alasan untuk ibu bapa lewat mendaftar kelahiran anak mereka kerana mempunyai kemudahan yang baik dari segi komunikasi, pengangkutan dan jarak dengan pejabat JPN.

"Tetapi berbeza dengan ibu bapa di Sabah dan Sarawak, yang mungkin menghadapi masalah dari segi jarak dan lokasi pejabat-pejabat JPN yang jauh daripada penempatan (terutama di kawasan pedalaman)," kata Nur Jazlan.

Dalam perkembangan lain, kerajaan memperuntukkan 30 hari tempoh masa untuk pemohon kad pengenalan mengambil dokumen mereka di pejabat-pejabat JPN, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan dokumen-dokumen mereka dimusnahkan.

Tambahnya berdasarkan rekod, 106,000 kad pengenalan belum diambil oleh pemilik sejak tiga tahun lalu.— EdisiRakyat.com, 11 Oktober 2017

Penyiasat "geram" suspek larikan RM600,000 duit bank ditahan semula

$
0
0
LELAKI berusia 28 tahun yang dikatakan telah melarikan sejumlah RM600,000 dari sebuah bank bulan lepas, dijangka akan ditahan lebih lama dalam lokap polis lapor thesundaily.

Ini berikutan laporan-laporan polis yang dibuat oleh lebih 30 individu yang menjadi mangsa lelaki berkenaan. Suspek dilaporkan telah ditangkap di Melaka pada 3 Oktober lalu.

Memetik sumber, thesundaily melaporkan bahawa siasatan berkenaan kecurian wang di bank hampir selesai namun suspek telah ditahan semula semalam selepas perintah reman selama seminggu ke atasnya tamat.

Suspek berkenaan dijangka akan dihantar ke beberapa negeri pada minggu-minggu akan datang bagi membantu siasatan berhubung banyak kes-kes kecurian yang berkaitan dengannya sebelum ini.

Sumber penyiasatan juga memaklumkan, berdasarkan rekod lelaki berkenaan pernah ditahan sewaktu zaman remajanya kerana perbuatan mencuri sebanyak empat kali.

Namun suspek dipercayai berjaya mengelak hukuman disebabkan kurang bukti dan asas teknikal lain.

Kes kes berkenaan dilaporkan berlaku di Lembah Klang dan Pulau Pinang lebih 10 tahun yang lalu.

Difahamkan pihak penyiasat kini berasa "geram" kerana suspek enggan mendedahkan di manakah lokasi baki wang yang dicurinya daripada bank — berjumlah RM500 ribu.

Pada 8 September lalu, berbekalkan hanya sekeping kertas, suspek yang menyamar sebagai seorang juruteknik alat pemadam api telah berjaya melarikan RM600,000 daripada sebuah bank di Damansara.



BACA — Lelaki berseluar pendek, berselipar larikan RM600,000 dari bilik kebal bank

Suspek yang berasal dari sebuah estet Kelapa Sawit di Karak, difahamkan telah berkahwin dengan seorang wanita lepasan universiti, dan kini mempunyai dua orang anak.

Dia dikatakan hanya melakukan kerja-kerja kasar sejak berhenti sekolah pada umur 13 tahun.

Tidak lama selepas itu, dia dikatakan mula melakukan kerja-kerja menipu untuk mendapatkan wang saku dan memenuhi keperluan perbelanjaan.

Difahamkan suspek tidak bersifat tamak atau suka membeli dan memiliki barangan-barangan mewah.

Selain itu difahamkan, selain membelanjakan wang haram yang diperolehinya untuk keperluan asas diri dan keluarga, suspek sering memberi kebanyakan wang kepada orang susah, bagi membayar hutang-hutang atau meringankan beban kewangan mereka. — EdisiRakyat.com, 11 Oktober 2017

Siapa sebenarnya saudara Yusuf Azmi?

$
0
0
SELEPAS namanya menjadi popular terutama di laman media sosial Facebook dan Twitter, orang ramai mula tertanya-tanya siapakah gerangannya saudara Yusuf Azmi yang selalu disebut-sebut.

Yusuf Azmi yang tampil berserban setiap kali memperjuangkan nasib pengguna tertindas, adalah Pengarah Unit Tindakan Khas (UTK) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Beliau mula menyertai PPIM sejak enam tahun lalu. Lelaki yang memiliki enam orang anak ini, mula meningkat naik namanya sejak memperjuangkan isu pajakan kenderaan dan membela nasib pemilik stesen minyak.

Sebelum itu beliau giat memperjuangkan isu-isu berkaitan ceti haram dan kes-kes penipuan telefon.

Sebelum menyertai PPIM, Yusuf Azmi yang berusia 28 tahun, pernah bekerja sebagai penjual gas memasak, kiub ais, dan mengusahakan tiga buah restoran, namun semuanya sudah ditutup.



Isterinya, Sabrina Hamdan mengakui bahawa suaminya yang kelihatan tegas di luar, tidak terbawa-bawa watak itu di dalam rumah tangga.

"Dia seorang lelaki yang sukar untuk dicari, dia seorang yang bertanggungjawab dan sangat romantik,"

"Cara dia bercakap dengan isteri sangat lembut, walaupun di luar nampak garang, dia ada ciri-ciri yang semua wanita mahu," katanya dipetik oleh portal MMO.



Ibu dan ayah Yusuf berhijrah ke Subang Jaya, Selangor pada usianya lima tahun. Dalam usia 5 tahun itu, Yusuf mendakwa hidupnya tidak sama seperti kanak-kanak lain.

Beliau terpaksa berjalan membawa bakul untuk menjual nasi lemak bagi membantu ibu dan ayah yang berpendapatan rendah bertugas sebagai pekerja kilang.

Anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu, mendakwa tindakannya menjual nasi lemak itu bukanlah disuruh atau dipaksa oleh sesiapa, tetapi lahir dari keinginan dirinya sendiri.

Yusuf Azmi bersekolah hanya sampai darjah enam kerana kehidupan keluarganya yang susah.

Menceritakan pengalaman hidupnya, Yusuf Azmi mendakwa beliau belajar memandu kereta seawal usia 13 tahun, kerana mahu jadi seorang peniaga.

Pada usia 15 tahun, beliau belajar memandu bas sekolah. Dakwanya lagi ketika umurnya 14 tahun, beliau sudah boleh memandu lori 3 tan.

Yusuf menyifatkan dirinya pernah berjaya menjadi orang kaya satu masa dahulu ketika usianya 19 tahun. Beliau pernah memandu dan memiliki kenderaan mewah. Namun tidak merasakan kebahagiaan.

Akhirnya seluruh perniagaannya bangkrap akibat ditipu jutaan ringgit sekembalinya pulang dari tanah suci Mekah. — EdisiRakyat.com, 11 Oktober 2017

Inspektor Bukit Aman bergelut dengan Polis selepas kantoi pecah rumah

$
0
0
SEORANG Inspektor yang bertugas di ibu pejabat Bukit Aman dilaporkan bergelut dengan pihak polis sebelum ditangkap selepas "kantoi" memecah masuk rumah jirannya di Taman Bangi Avenue pada hari Khamis.

Suspek berusia 31 tahun, yang bertugas di Jabatan Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) itu digari dan ditahan oleh sepasukan polis ketika dia sedang tercuri-curi menuruni tangga dengan sebuah beg mengandungi barang yang dicuri dan sebilah pisau lapor MMO.

Ketua Polis Daerah, ASP Dzaffir Mohd Yussof berkata, Balai Polis Bangi menerima panggilan pada jam 5 petang ketika jiran-jirannya ternampak seorang lelaki sedang mengumpil kunci pintu

Katanya ketika sampai di tempat kejadian, pemeriksaan mendapati kunci pintu belakang rumah berkenaan telah diumpil dan pintunya dalam keadaan renggang.

Menurut Dzaffir, pihak polis telah masuk ke dalam rumah dan terserempak dengan suspek yang sedang menuruni tangga.

"Satu pergelutan telah tercetus, namun pihak polis berjaya menguasai situasi dan menangkap suspek," katanya.



"Suspek mempunyai sebuah beg dan sebilah pisau,"

Katanya lagi pihak polis telah memaklumkan kepada pemilik rumah, seorang penasihat kewangan berusia 45 tahun yang kemudiannya bergegas pulang ke rumah.

Kata Dzaffir lagi, ketika pemilik rumah pulang, Barulah dia sedar bahawa suspek dalam tahanan merupakan jirannya

"Tuan rumah telah memeriksa rumahnya dan mendapati kesemua bilik-bilik tidur dan ruang tamu telah digeledah. Dia juga mengesahkan bahawa barang-barang di dalam beg suspek adalah barang miliknya,"

Antara barangan yang dicuri ialah, monitor computer, sebuah beg tangan, sebuah peranti realiti virtual, dan kotak-kotak tabung syiling.

Suspek dilaporkan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai menceroboh. Suspek ditahan reman sehingga hari Isnin. — EdisiRakyat.com, 14 Oktober 2017

Cahaya mata kedua TMJ bakal pewaris Tahta Kesultanan Johor

$
0
0
TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dilapor selamat menyambut kelahiran cahaya mata kedua yang bakal mewarisi Tahta Kesultanan Kerajaan Johor.

Perkara itu diumumkan oleh Jemaah Majlis Diraja Johor pada hari Sabtu.

Kelahiran putera itu merupakan cucu kedua Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Orang ramai di media sosial terutama rakyat Johor, tidak henti-henti menyampaikan ucapan tahniah atas kelahiran pewaris tahta Kerajaan Johor itu yang selamat dilahirkan di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada 14 Oktober 2017.

Tunku Ismail, 33 yang juga merupakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkahwin dengan Khaleeda, 24 pada bulan Oktober 2014.



Tahun lalu, TMJ dikurniakan puteri sulung — Tunku Kalsom Aminah Sofiah binti Tunku Ismail. — EdisiRakyat.com, 14 Oktober 2017

Lelaki tanpa identiti maut dirempuh keretapi ETS di Damansara

$
0
0
SEORANG lelaki tanpa identiti dilaporkan maut selepas dilanggar oleh keretapi ETS di Damansara, Petaling Jaya pada malam Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 11.52 malam di KM375.4 melibatkan keretapi yang dalam perjalanan dari Batu Gajah menuju ke KL Sentral.

Mangsa yang maut dipercayai berumur sekitar 30-an.

Difahamkan keretapi berkenaan terhenti selepas merempuh lelaki tersebut. Kapten telah mengarahkan kakitangan untuk memeriksa landasan membawa kepada penemuan seorang lelaki tidak dikenali yang mengalami cedera parah di bahagian kepala.

keretapi ets

"Lelaki berkenaan disahkan maut oleh pasukan paramedik pada jam 1.45 pagi,"

"Tiada sebarang dokumen peribadi ataupun telefon pintar ditemui di tempat kejadian," kata Ketua Polis Petaling Jaya, ASP Mohd Zani Che Din.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan pihak polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai mati mengejut. — EdisiRakyat.com, 14 Oktober 2017

Apple umumkan harga iPhone X untuk pasaran Malaysia

$
0
0
HARGA iPhone X untuk pasaran Malaysia sudah diumumkan secara rasmi. Jika anda merasakan harga iPhone 8 dan iPhone 8 plus sudah begitu mahal anda mungkin telan air liur selepas mengetahui harga iPhone X pula.

Sementara iPhone generasi baru berharga sekurang-kurangnya RM3,649, model ulang tahun ke-10 iPhone X harganya jauh lebih mahal.

Apple Malaysia telah mendedahkan harga iPhone X melalui laman sesawangnya pada hari Sabtu. IPhone X bakal dijual pada harga RM5,149 untuk model 64GB dan RM5,899 untuk model 256GB.

Anda boleh memilih dua jenis warna — "silver" dan "space grey".

iphone X

Bagi pasaran di Amerika Syarikat, ia dijual pada harga USD999 (RM4,201) dan USD1,149 (RM4,832)

Di negara jiran kita Singapura pula, iPhone X dijual pada harga SD1,648 (RM5,134) bagi model 64GB dan RM1,888 (RM5,882) untuk model 256GB — iaitu harganya hampir sama dengan pasaran Malaysia.

Walaupun harganya sudah didedahkan, ada mungkin perlu menunggu sedikit masa lagi, kerana pihak Apple belum lagi mengumumkan ciri-ciri lanjut telefon pintar berkenaan.

harga iphone X Malaysia

Tarikh pelancaran umum iPhone X di Amerika Syarikat ialah pada 3 November, jadi mungkin tidak lama selepas itu dia bakal berada di negara Malaysia. — EdisiRakyat.com, 15 Oktober 2017

Apakah harta yang diwajibkan zakat?

$
0
0
SEBENARNYA Al-Quran tidak menentukan secara pasti harta yang wajib dikenakan zakat. Hanya ada beberapa perkara sahaja yang disebut.

Al-Quran hanya menyebut tentang keuntungan daripada usaha kerja dan apa yang dikeluarkan dari bumi dalam surah Al-Baqarah ayat 276, emas dan perak dalam surah At-Taubah ayat 34 serta hasil tanaman dan buah dalam surah Al-An'am ayat 141.

Selain itu, Al-Quran tidak menerangkan secara terperinci setiap satunya, kesemua ini menjadi tanggungjawab pembawa risalah iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Al-Quran hanya menyebutnya sebagai harta (al-mal).

al-quran

Dalam bahasa Arab harta disebut sebagai "mal". Harta adalah benda yang disukai oleh manusia dan boleh disimpan. Rumah, kereta, motosikal, duit, kain baju, kedai dan lain-lain adalah harta. Manfaat sesuatu benda juga adalah dikira sebagai harta.

Zaman dahulu kala jenis harta mungkin agak terhad. Oleh itu harta yang dikenakan zakat juga tidak banyak. Antaranya,

1. Emas dan perak
2. Haiwan ternakan
3. Hasil tanaman
4. Barang perniagaan
5. Hasil galian
6. Harta rikaz

Oleh kerana sistem pendapatan individu dan masyarakat sudah berubah, maka harta yang dikenakan zakat juga turut bertambah. Antaranya ialah,

1. Gaji bulanan
2. Pendapatan hasil sewaan.
3. Wang simpanan.
4. Wang caruman KWSP.

Timbul persoalan di fikiran kita adakah semua harta diwajibkan untuk zakat? Adakah jika ada padi seguni atau dua pun kena zakat? Takkanlah kalau ada wang RM200 dalam poket pun kena zakat juga?

Memanglah harta itu banyak jenis. Makanan pun harta juga, baju panas busuk pun harta juga, stokin yang sudah dua minggu dipakai juga adalah harta. Kalau ada duit sepuluh ringgit pun sudah dikira harta. Jadi tak kan macam ini pun kena zakat juga?

Sebenarnya bukan semua jenis harta dikenakan zakat. Mesti ada syarat-syarat dahulu kalau cukup molek syarat ini barulah dikenakan zakat. Antara syaratnya ialah:

1. Pemilik harta yang sempurna.

Harta yang diwajibkan zakat mestilah milik tuannya. Harta milik orang lain tidak boleh dikira sebagai harta zakat kita, kalau duit simpanan biasanya mestilah buku akaun nama kita, kalau duit gaji, gaji kita bukan gaji bos kita.

Harta juga mestilah sempurna milik dengan makna kita boleh mentadbir harta itu dengan mudah. Kalau hendak dikeluarkan boleh sahaja bila-bila masa sebab itu, kemungkinan besar duit caruman KWSP tidak dikenakan zakat selagi mana pencarum belum memiliki secara sempurna.

Sebabnya si pencarum tidak boleh menggunakan wang KWSP mengikut kehendaknya, kalau sudah pencen mungkin duit itu wajib dizakatkan.

Tapi kalau masih bekerja dan mencarum, biarlah dahulu.

2. Harta itu harta yang berkembang.

Harta yang diwajibkan zakat mestilah harta yang boleh memberi pulangan kepada pemiliknya kalau diperhatikan senarai harta yang dikenakan zakat, semuanya boleh berkembang.

Duit pun boleh berkembang kerana duit boleh dilaburkan, duit juga boleh digunakan sebagai alat membeli barang lain, haiwan ternakan juga boleh berkembang kerana ia boleh menghasilkan susu, makin gemuk dan beranak-pinak, buah juga berkembang kerana ia adalah hasil pertanian.

Oleh itu tak ada zakat yang dikenakan kepada perkakas rumah seperti kerusi meja, haiwan tunggangan, motosikal, pakaian harian dan sebagainya. Sekiranya ini pun kena zakat, letihnya nak membayar zakat.

Dalam satu hadis nabi S.A.W bersabda;

"Tidak ada ke atas Muslim pada hambanya dan haiwan tunggangannya oleh sedekah (zakat)"

Tapi kenapa harta yang tidak berkembang tidak dikenakan zakat? Itulah nikmat syariat di mana zakat diwajibkan bagi membantu golongan susah pada masa yang sama, syarikat tidak mahu membayar zakat pula menjadi susah kerana harta yang tidak berkembang pula terpaksa dizakatkan sebab itu ada satu sabda yang bermaksud:

"Tidak akan berkurang harta daripada sebab bersedekah"

( mafhum hadis riwayat Tarmizi)

3. Mencapai kadar nisab.

Harta itu juga mestilah ada kadar yang tertentu kalau ada dua ekor kambing takkan boleh dikenakan zakat. Nisab ialah kadar, dengan kadar tertentu yang mencukupi nisabnya, barulah wajib zakat.

4. Cukup tempoh haul iaitu setahun.

Tempoh ini bagi haiwan ternakan emas perak dan barang perniagaan, ini kerana tempoh ini adalah tempoh yang sesuai bagi mengembangkan harta kalau haiwan yang bunting mungkin sudah beranak.

Adapun buah dan bijian maka tidak disyaratkan tempoh haul kerana buah dan bijian sendiri adalah hasil daripada proses yang lama syarat haul ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan;

"Tidak ada zakat pada harta hinggalah berlalu tempoh masa haul (setahun)". — EdisiRakyat.com, 16 Oktober 2017

Permintaan kosmetik dan penjagaan diri halal semakin meningkat

$
0
0
MESKIPUN terdapat banyak jenama produk kosmetik dalam pasaran Malaysia, namun secara lazimnya pilihan untuk wanita Muslim yang lebih gemar menggunakan kosmetik halal sangatlah terhad.

Masa sudah berubah, di mana produk-produk berkaitan penjagaan diri dan kosmetik yang berunsur halal kini muncul sebagai segmen pengguna yang sangat drastik peningkatannya di Malaysia. Fakta itu disahkan oleh laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) melalui laman web rasminya tahun lalu.

Koperasi Kemajuan Idustri Halal (HDC) — yang bernaung di bawah MITI — menyatakan bahawa setakat ini terdapat lebih daripada 100 syarikat-syarikat kosmetik dan penjagaan diri yang memiliki Sijil Halal. Antaranya termasuk Wipro Unza, Southern Lion, Johnson & Johnson, SimplySiti, Clara International, Eversoft, Shafie, Silky Girl dan Shokubutso.

Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Pengarah Jabatan Halal Hub Jakim, mengesahkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKM) melihat peningkatan permohonan Sijil Halal oleh pelbagai jenama-jenama kosmetik dalam dan luar negara.

Dr Sirajuddin Jakm

"Produk produk kosmetik dan penjagaan diri, termasuk aksesori adalah produk yang dibenarkan di bawah undang-undang Syariah dan mesti memenuhi syarat-syarat tertentu," jelasnya.

Antara syarat-syarat tersebut jelasnya termasuklah

"Tidak mengandungi sebarang bahan daripada atau dihasilkan daripada mana-mana bahagian badan dan anggota manusia; Ia juga mestilah bebas daripada bahan-bahan daripada haiwan yang diharamkan untuk umat Islam, atau haiwan haiwan yang tidak disembelih dengan cara yang halal,"

"Ia juga mestilah bebas daripada organisma yang diubahsuai bahan genetiknya (GMO) yang sudah diisytiharkan sebagai najis mengikut amalan Islam,"

Tambahnya lagi: "Semasa penyediaan, pemprosesan dan pengilangan, mestilah tidak terdapat sebarang sentuhan (dengan bahan-bahan tidak halal). Halal juga bermakna produk berkenaan tidak berbahaya kepada pelanggan.

"Bagi mendapatkan persijilan halal daripada JAKIM, pemohon hendaklah memastikan bahawa produk mereka telah didaftarkan dan mempunyai surat kelulusan daripada Biro Kawalan Farmasutikal Malaysia (NPCB)."

Menjawab soalan bagaimana produk-produk kosmetik dinilai sebelum Sijil Halal diberikan, Dr sirajudeen menjelaskan,

"Produk-produk kosmetik akan diuji oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya, sebuah makmal yang diberi kuasa oleh Jakim, namun ia hanya akan dilakukan sekiranya terdapat keraguan dalam kandungan produk-produk tertentu."

"Jenama tertentu yang mahu memperkenalkan produk baru mestilah memohon semula Sijil Halal,"— EdisiRakyat.com, 16 Oktober 2017

Wanita Indonesia tinggalkan bayi selepas bersalin di hospital swasta

$
0
0
SEORANG wanita warga Indonesia dilapor menghilangkan diri sehari selepas melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak.

Bayi berkenaan turut ditinggalkan di hospital tersebut.

"Menurut pihak hospital, wanita berusia 23 tahun itu diterima masuk pada hari Sabtu, dan telah selamat melahirkan sekitar jam 4 petang,"

"Bayi berkenaan dibawa ke nurseri untuk tujuan pemantauan, sementara ibunya dihantar ke wad,"

"Pada keesokan harinya, seorang kakitangan hospital yang melakukan pemeriksaan mendapati wanita tersebut tiada lagi di biliknya,"

"Pihak hospital kemudiannya memutuskan untuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) (sekaligus mendapati wanita berkenaan telah menyelinap keluar dari hospital)," kata Ketua Polis Daerah, ASP Abang Ahmad Abang Julaihi dalam satu kenyataan pada hari Selasa.

Tambahnya lagi seorang jururawat telah membuat laporan polis berikutan kejadian itu.

Pihak polis telah memaklumkan Konsulat Indonesia di Kuching bagi mendapatkan bantuan mengenalpasti dan mencari wanita berkenaan.

"Bayi berkenaan kini di bawah jagaan pihak hospital," katanya lagi. — EdisiRakyat.com, 17 Oktober 2017

Anak yang pemarah, punca dan cara menanganinya

$
0
0
MARAH adalah kecenderungan naluri yang tidak mungkin untuk dihilangkan dan dihindarkan, akan tetapi dapat ditangani, dikuasai dan dikendalikan.

Apa yang dimaksudkan dengan penguasaan adalah penguasaan dalaman yang dilakukan oleh si anak terhadap hawa nafsunya bukan penguasaan luaran seperti penguasaan sang bapa yang menghalang si anak dengan paksa agar tidak menampakkan kemarahannya.

Sesungguhnya menahan marah dengan cara seperti ini akan membawa goncangan dan gelojak yang tersembunyi di dalam jiwa si anak dan boleh jadi akan mengakibatkan penyakit saraf.

Oleh sebab itu menangani masalah marah memerlukan perhatian dan kecermatan. Cara terbaik untuk menyelamatkan diri dari kemarahan adalah dengan memperkuat kemahuan si anak sehingga anak itu dapat menahan diri.



Mengapa anak marah?

Marah akan bergelojak dan meningkat apabila ada seseorang yang menghalang si anak untuk menyalurkan keinginannya. Kita ambil sebagai contoh, seorang anak yang ingin bermain, bermain adalah fitrah baginya.

Apabila dia dilarang dari permainan itu, maka akan nampak padanya tanda-tanda kemarahan.

Oleh kerana itu, orang tua terutama ibu bapa dan guru wajib memperhatikan titik yang sensitif ini, sehingga mereka berusaha selamanya untuk tidak menghalangi anak menyalurkan keinginannya selama tidak membahayakan si anak sendiri.

Sementara penyaluran keinginan yang membahayakan dirinya dapat dibelokkan, dan dipesongkan.

Apakah penyebab kemarahan itu?

Marah mempunyai banyak penyebab, antaranya ialah:

1. Perasaan cemburu yang timbul kerana ketidakadilan orang tua dalam melayani anak-anaknya. 

Apabila seorang anak mendapati bapanya berhubungan baik dengan saudaranya dan memberikan perhatian yang lebih kepada saudaranya daripada dirinya, Maka akan Berkorbarlah api kemarahan dalam diri.

Dalam hal ini penyebab kemarahan tersebut adalah bapanya. Persamaan dan keadilan sehingga dalam hal kasih sayang merupakan kewajipan agama dan pendidikan.


2. Tipu daya yang dilakukan terhadap anak oleh salah seorang teman atau saudaranya. 

Bagi menyelamatkan si anak dari kemarahan seperti ini, kita harus menjauhkannya dari orang-orang yang memperdaya atau menipunya.


3. Anak meniru contoh yang buruk.

Sesungguhnya anak yang mendapati bapa atau ibunya marah kerana sebab yang kecil, tentu akan tumbuh sifat dan perangai seperti orang tuanya.

Seharusnya ibu bapa menyedari hal ini dan selalu menahan diri daripada kelakuan buruk terutama ketika berada di hadapan anak-anak mereka.


4. Anak dibebani dengan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan.

Misalnya terlalu banyak perintah dan tuntutan yang dibebankan ke atasnya. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan "Jika kamu mahu ditaati, maka perintahkanlah apa yang dapat dipenuhi,"

Selain menyebabkan penyakit kejiwaan, kemarahan juga dapat menyebabkan penyakit fizikal yang parah. Misalnya kemarahan akan merosak darah dan mengurangkan daya tahan badan, juga mungkin boleh menyebabkan penyakit barah.

Kemarahan mungkin sekali disertai dengan serangan saraf, seperti berguling di atas tanah, mengoyak-ngoyak pakaian dan menggoncang anggota badan.

Oleh kerana itu, sebab-sebab atau punca kemarahan haruslah segera dijauhkan, dan sekiranya perlu sila dapatkan rawatan doktor. — EdisiRakyat.com, 17 Oktober 2017

Lima tips memastikan rumah anda selamat untuk kucing

$
0
0
MEMELIHARA kucing di rumah merupakan suatu kebiasaan di rantau Asia mahupun di seluruh dunia. Namun, adakah kita mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya untuk haiwan kesayangan kita itu?

Berikut diutarakan 5 tips bagi memastikan rumah anda selamat untuk kucing.

1. Jangan biarkan tali bidai berjuntai. 

Kebanyakan rumah hari ini menggunakan bidai yang biasanya mempunyai tali untuk membuka atau menutupnya. Sekiranya bidai rumah anda jenis yang mempunyai tali, pastikan anda tidak membiarkan tali bidai ini berjuntai.

Kucing amat suka bermain dengan tali. Tambahan pula tali bidai yang berjuntaian itu membuatkannya lebih teruja. Namun dikhuatiri tali tersebut mungkin terlilit pada leher kucing dan ini mungkin boleh membawa maut.


2. Kemaskan wayar-wayar elektrik yang berselerakan.



Sama seperti tali, kucing juga sangat suka dengan wayar elektrik. Kemungkinan untuk wayar elektrik menjerut leher kucing bukanlah suatu yang mustahil lebih-lebih lagi wayar elektrik jenis yang halus.

Namun ada risiko yang lebih besar berkaitan dengan wayar elektrik ini — kucing kesayangan anda mungkin boleh terkena renjatan elektrik jika ia menggigit wayar tersebut — kebanyakan wayar tentulah mempunyai arus elektrik.

*** Kalau wayar yang tiada arus elektrik saya pun berani gigit.


3. Gantung pokok bunga dan tanaman.



Antara hobi kucing adalah menggigit daun-daun. Sekiranya anda meletakkan pokok bunga dan tanaman di tempat yang rendah, kemungkinan pokok bunga dan tanaman anda habis 'dikerjakan' boleh kucing kesayangan anda itu.

Tambahan pula, kucing anda mungkin keracunan akibat menggigit tanaman-tanaman tertentu. Walaupun jika tanaman tersebut tidak beracun, kucing anda mungkin boleh mengalami sakit perut jika tanaman yang dimakannya tidak hadam sepenuhnya di dalam perut.


4. Jangan biarkan kucing anda bermain dengan beg plastik

Kucing amat suka pada bunyi yang dikeluarkan semasa ia bermain dengan beg plastik. Namun semasa ketiadaan anda, ia mungkin boleh lemas jika tidak dapat mengeluarkan kepalanya daripada beg plastik tersebut.


5. Pungut benda-benda kecil dari lantai.



Seperti anak-anak kita yang kecil, kucing juga gemar meletakkan atau kemasukan benda ke dalam mulutnya. Benda-benda kecil seperti 'paper clip', paku payung (thumb tack), duit syiling dan cebisan kertas tidak harus berada di lantai.

Apa yang masuk pasti boleh keluar, namun apa yang menjadi masalah dan membimbangkan kita ialah jika ia hanya boleh keluar melalui pembedahan. — EdisiRakyat.com, 17 Oktober 2017

Demam denggi berdarah (DDB) rawatan awal boleh selamatkan nyawa

$
0
0
KEBANYAKAN kes demam denggi dan denggi berdarah di Malaysia berlaku di kawasan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

Kes demam denggi di Malaysia didapati sentiasa mengalami peningkatan, iaitu daripada 15 kes pada tahun 1973 sehingga mencecah 40,000 kes dalam tempoh setahun pada tahun 2005.

Ini jelas menunjukkan bahawa penyakit demam denggi merupakan salah satu masalah utama yang perlu dihadapi oleh masyarakat dan negara.

Perlu anda ketahui bahawa rawatan awal demam denggi boleh menyelamatkan nyawa, terutama jika mangsa mengalami demam denggi berdarah.

Di bawah ini disenaraikan sembilan (9) tanda-tanda dan gejala demam denggi, dan lapan (8) tanda-tanda dan gejala demam denggi berdarah (DDB) bagi membantu pemahaman anda sekiranya perlu menangani pesakit berkaitan.

Tanda-tanda dan gejala demam denggi

Demam denggi merupakan sejenis penyakit demam akut yang teruk dicirikan dengan tanda dan gejala yang berlaku secara tiba-tiba.

Demam selama lebih kurang 5 hari dan jarang sekali melebihi 7 hari. Kadangkala pesakit mengalami demam yang kuat sehingga suhu badan mencapai 41 darjah Celsius. Adakalanya demam berlaku sebanyak dua kali.

Demam diikuti pula dengan sakit kepala yang kuat, rasa sakit belakang, sakit rongga mata (retro-obital), sakit otot dan sendi-sendi tulang.

Dalam sesetengah kes terdapat kemerahan (petechia) yang menyeluruh pada kulit badan.

Bintik-bintik ruam, Biasanya muncul tiga hingga empat hari selepas tanda dan gejala demam berlaku.

Tompok-tompok merah yang kecil mungkin muncul pada bahagian kaki dan tangan atau lelangit pada hari akhir demam atau sebaik sahaja demam sembuh.

Apabila demam sembuh, pesakit akan mengalami keletihan dan kelesuan tubuh badan untuk jangka masa yang lama.

Kekurangan leukosit dalam darah (leukopenia) serta kekurangan platelet dalam darah (thrombocytopenia) dan diikuti dengan sakit nodus limfa (lymphadenopathy) sering berlaku kepada pesakit demam denggi.

Bagaimanapun anda tidak perlu risau kerana kadar kematian demam denggi adalah rendah.

Tanda tanda dan gejala demam denggi berdarah (DDB)

Demam denggi berdarah merupakan sejenis penyakit endemik yang serius. Penyakit ini dicirikan dengan peresapan luar biasa saluran darah dan pengurangan luar biasa peredaran plasma dalam badan (hypovolemia). Mekanisme pembekuan darah yang luar biasa juga berlaku terhadap pesakit demam denggi berdarah.

Tanda dan gejala demam yang kuat berlaku serta merta, diikuti dengan hilang selera makan, muntah-muntah, sakit kepala dan sakit beruang abdomen (perut).

Fenomena pendarahan kerap kelihatan pada kulit dan pengesahan ringkas boleh dilakukan dengan ujian Torniquet.

ujian torniquet

Kulit mudah menjadi lebam serta kelihatan bintik-bintik ruam kemerahan. Berlaku pendarahan pada hidung ataupun gusi.

gusi berdarah

Pendarahan pada gastro-usus jarang berlaku. Sekiranya berlaku Biasanya perkara ini akan diikuti dengan kejutan (shock).

Hati mungkin mengalami pembesaran semasa peringkat demam yang berakhir selepas 2 hingga 7 hari. Selepas beberapa hari demam, sesetengah pesakit boleh menjadi tenat secara tiba-tiba dengan menunjukkan tanda-tanda kegagalan sistem peredaran darah seperti sejuk, kulit berbintik, nadi yang kencang, masa prothrombin yang panjang dan akhirnya berlaku syndrome kejutan denggi (Dengue Shock Syndrome).

Dalam semua kes demam denggi berdarah, bilangan platelet yang terdapat di dalam darah mengalami penurunan (thrombocytopenia) ke paras yang luar biasa. Bagi kes-kes yang lebih serius serum albumin didapati menjadi sangat rendah.

Kes kadar kematian yang berlaku secara mengejut adalah tinggi sekitar 40 hingga 50 peratus jika tidak dirawat. Bagaimanapun jika dirawat dengan segera, kadar kematian yang berlaku hanya lebih kurang lima peratus sahaja. — EdisiRakyat.com, 18 Oktober 2017

Ketahui keburukan makan ayam daging

$
0
0
AYAM daging yang kita beli di pasar bukan lagi ayam yang sebenarnya. Ia adalah sejenis modifikasi bahan makanan. Ayam-ayam moden hari ini kelihatan semuanya memakai baju yang sama.

Dalam artikel kali ini kita akan membincangkan tentang keburukan makan ayam daging yang dijual secara meluas di pasaran hari ini.

Kesemua ayam daging didudukkan di dalam bilik yang sempit dan diberi makan mengikut peraturan. Ayam-ayam ini juga diberi pelbagai jenis pil dan hormon gemuk agar ianya 'kelihatan' subur, gebu dan menarik apabila telah disembelih untuk dijual di pasar.

Ayam-ayam ini juga tidak pernah mengotorkan kaki mencakar tanah untuk mencari cacing. Badan ayam-ayam ini tidak pernah dimamah cahaya matahari.



Bayangkan dalam masa 40 hari sahaja, dari sebiji telur yang menetas dengan kuasa elektrik seekor ayam Siap sedia untuk dihidangkan di atas meja makan.



Ramai penternak ayam masih menggunakan sejenis antibiotik yang mempunyai kesan karsinogenik (penyebab barah) dan boleh merosakkan sistem saraf pusat.

Nitrofuran, satu kelas drug yang amat toksik digunakan untuk mengawal penyakit yang menyerang ayam ternakan.

Seorang doktor haiwan pernah mendapati rintangan terhadap antibiotik tersebut telah wujud dalam sekumpulan ayam ternak yang dirawatnya.

Mereka yang kerap memakan daging ayam kini perlu lebih berhati-hati berikutan kadar hormon gemuk yang tinggi pada haiwan itu boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan.

Kekerapan memakan ayam khususnya daripada jenis 'ayam daging' boleh membawa kepada ketidakseimbangan hormon dalam tubuh. Dalam tempoh jangka masa panjang mereka yang kerap memakannya menghadapi risiko menghidap barah.

Secara umumnya, tubuh kita memang mempunyai sistem kawalan bahan-bahan asing. Namun ia hanya berfungsi untuk tindak balas jangka pendek sahaja dan tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku selepas itu.

Begitu juga kulit ayam boleh mendatangkan kemudaratan kerana ia banyak terdedah kepada pelbagai bahan kimia yang beracun.

Pembesaran ayam daging yang bergantung kepada tindak balas hormon memudaratkan sistem pertahanan badan manusia yang memakannya.

Hormon yang terkumpul dalam badan manusia itu boleh menjadi punca kepada penyakit sekiranya sistem pertahanan badan gagal meneutralkannya dalam tempoh yang singkat.

Apabila bahan-bahan yang tidak biasa diproses ini gagal disintesis dan dipecahkan, ia boleh memberikan kesan apabila tua kelak.

Selain hormon, ayam daging juga mempunyai kadar kolestrol yang tinggi berbanding makanan lain dalam kumpulan makanan berprotein.

Tak ada ni ni meningkatkan lagi risiko didatangi penyakit penyakit seperti penyakit jantung, diabetis dan masalah kegemukan. — EdisiRakyat.com, 18 Oktober 2017

Rujukan —  Dr Muhammad Dhani, 57 PENYAKIT BERBAHAYA DAN RAWATANNYA secara kedoktoran dan Islam, Muka Surat 314.

Premis McDonald's kena serbu selepas ramai jatuh sakit makan burger

$
0
0
PIHAK berkuasa dilaporkan menyerbu pejabat McDonald's Corp pada hari rabu, berikutan aduan ramai kanak-kanak jatuh sakit selepas makan burger keluaran syarikat itu yang dikatakan tidak cukup masak lapor Yonhap News Agency dan beberapa media lain di Korea Selatan.

Menurut laporan itu, pendakwaraya daerah di Seoul telah merampas beberapa dokumen dan bukti dari pejabat berkenaan dan tiga lagi syarikat, termasuk sebuah syarikat pembekal bahan.

Salah seorang jurucakap pejabat berkenaan telah mengesahkan serbuan itu kepada Reuters, namun beliau tidak memberikan sebarang alasan atau butiran lanjut. Pihak pendakwaraya pula dilaporkan tidak dapat dihubungi segera bagi mendapatkan ulasan berkenaan isu terbabit.



Pada bulan Julai lalu, seorang pengguna telah memfailkan aduan terhadap syarikat Amerika Syarikat itu mendakwa anak perempuannya yang berusia 4 tahun dikesan menghidap hemolytic uremic syndrome, yang sering dirujuk sebagai penyakit hamburger, selepas menderita kerosakan buah pinggang yang tidak boleh sembuh akibat makan sebuah burger McDonald's tahun lalu, lapor Yonhap.

Beberapa aduan turut difailkan oleh ibu bapa 4 lagi kanak-kanak yang dikatakan jatuh sakit selepas makan burger-burger Mcdonalds.

Pada bulan Ogos, pelanggan-pelanggan di sebuah premis McDonald yang terletak di barat daya Bandar Jeonju mengalami sakit perut dan demam teruk selepas makan Burger Bulgogi.

Rantaian makanan segera itu telah menghentikan seketika jualan burger berkenaan yang dilancarkan pada tahun 1997 untuk mengenal pasti punca.

McDonald's ketika itu memaklumkan bahawa ia memberikan kerjasama kepada siasatan yang dijalankan oleh kerajaan Korea Selatan berkenaan kes pencemaran makanan.

Tahun lalu perbincangan untuk menjual perniagaan McDonald's Korea Selatan kepada sebuah syarikat tempatan KG Chemical Corporation gatal disebabkan "perbezaan pendapat yang besar"EdisiRakyat.com, 19 Oktober 2017

Kerap makan ikan kurangkan risiko sakit jantung

$
0
0
TAHUKAH anda, orang yang gemar makan ikan berisiko rendah untuk mendapat serangan sakit jantung. Bukan hanya lazat dan relatif harganya lebih murah, ikan ternyata mengandungi hampir semua unsur makanan yang amat berguna.

Khasiatnya luar biasa, di antaranya mengurangkan risiko serangan sakit jantung dan meningkatkan kecerdasan. tidak dapat disangkal lagi bahawa berjenis-jenis ikan telah diambil manusia semenjak ratusan tahun silam, tanpa mengira kandungan nutrisi yang ada di dalamnya.

Namun alasan untuk mengambil ikan berubah sepenuhnya pada dekad 1950 an, setelah para penyelidik epidemiologi membuat kesimpulan bahawa orang-orang Eskimo secara kuantitatif terbukti mendapat serangan sakit jantung lebih rendah berbanding orang Amerika.

Kesimpulan itu dikeluarkan untuk menjawab pertanyaan mengapa orang Amerika ramai yang mendapat serangan sakit jantung sementara orang Eskimo di Greenland tidak.

makan ikan

Setelah diselidiki dengan lebih mendalam, ternyata orang Eskimo yang tinggal di Kutub Utara mengambil ikan dalam bilangan yang relatifnya lebih banyak.

Sementara masyarakat Eskimo yang tinggal di Denmark yang mengikut kebiasaan makan cara orang Denmark, kekerapan serangan sakit jantung sama dengan masyarakat sekeliling pada umumnya.

orang eskimo

Kesimpulan di atas memberi penjelasan bahawa pola makan amat memberi kesan kepada risiko mendapat serangan sakit jantung.

Negara-negara seperti Norway dan Jepun yang sebahagian besar penduduknya juga mengambil ikan, kekerapan serangan sakit jantung juga menjadi rendah.

Bahkan di negeri Sakura itu hasil laut rasanya tidak dapat dipisahkan dari menu harian mereka. Rakyat Jepun secara puratanya mengambil hasil laut sebanyak 35 kg/ kapita/tahun, termasuk udang, sotong, ketam, tumbuhan laut dan sebagainya.

Kini kajian lanjutan para ilmuan telah menemukan bukti bahawa ikan laut banyak mengandungi lemak tidak tepu yang tinggi dengan Omega-3.

Sejak dari itu penemuan ini diterbit dan disebarkan secara meluas, sekaligus melonjakkan nama Omega-3 menyebabkan pelbagai jenis ikan yang dipercayai banyak mengandungi bahan tersebut dicari untuk dimakan. — EdisiRakyat.com, 19 Oktober 2017

Berdengkur semasa tidur: sebab-sebab, komplikasi dan kaedah rawatan

$
0
0
BERDENGKUR adalah bunyi bising semasa bernafas, apabila sebahagian daripada saluran pernafasan atas seseorang tersumbat. Ia berlaku apabila terdapat sekatan pada aliran udara di dalam saluran pernafasan di bahagian belakang mulut dan hidung seseorang.

Bunyi itu dikeluarkan apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergesel dan bergetar di antara satu sama lain.

Berdengkur biasanya bertambah kerap selari dengan peningkatan umur dan biasanya ia tidak membahayakan.


SEBAB-SEBAB BERDENGKUR

1. Lemah otot-otot pada lidah, lelangit lembut dan tekak.

Apabila otot tidak tegang akibat arak atau ubatan yang menyebabkan otot lemah, lidah seseorang akan tertolak ke belakang, menutupi aliran udara atau otot tekak tertarik masuk ke dalam tekak dan menyekat salur pernafasan atas. Ia juga berlaku semasa waktu tidur yang nyenyak.

2. Tisu tekak yang besar dan tebal.

Kanak-kanak yang mempunyai tonsil dan tisu adenoid yang membengkak selalunya berdengkur.

3. Orang yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher yang pendek dan besar juga mudah berdengkur.

4. Ovula (anak tekak) yang panjang

Ovula yang panjang akan mengecilkan rongga pembukaan dari hidung ke tekak. Getaran berlebihan dari tisu ini akan mengakibatkan dengkuran. Selain itu saluran pernafasan juga mudah tersekat.

5. Hidung yang tersumbat dan sukar bernafas.

Keadaan ini menyebabkan seorang individu itu menjadi lebih kerap menyedut udara untuk bernafas. Ini mengakibatkan ruang vakum berlebihan di dalam tekak dan mengakibatkan tisu tekak yang lembut tertarik ke dalam sehingga mengakibatkan dengkuran.

6. Lain-lain

Antara sebab lain adalah batang hidung yang bengkok, polip dan jangkitan sinus.


KOMPLIKASI

Berdengkur juga boleh mendatangkan masalah tidur yang serius dipanggil sebagai "sleep apnea"— suatu keadaan apabila seseorang itu berhenti bernafas lebih dari 10 saat buat seketika semasa tidur.

"Sleep apnea" boleh membahayakan diri dan memerlukan rawatan lanjut.


KAEDAH RAWATAN

Keadaan berdengkur yang teruk ialah mereka yang berdengkur pada mana-mana kedudukan atau sehingga mengganggu orang lain.



Pakar telinga hidung dan tekak akan memeriksa hidung, mulut, tekak, lelangit, dan leher orang yang berdengkur.

Kajian semasa tidur yang dilakukan di dalam "makmal tidur" perlu bagi mengenal pasti tahap keseriusan dengkuran dan kesan kesihatan ke atas mendengkur tersebut.

Biasanya pemeriksaan akan tertumpu kepada sama ada dengkuran berpunca daripada alahan hidung, resdung, asma, bronkitis, jangkitan, kecacatan, atau masalah tonsil dan adenoid.


Saranan bagi orang yang kuat berdengkur

1. Kurangkan berat badan jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan.

2. Kurangkan pengambilan minuman beralkohol atau ubatan yang mempunyai kesan mengantuk pada waktu tidur.

3. Elakan mengambil tranquilizer, pil tidur dan antihistamine sebelum tidur.

4. Amalkan tidur pada waktu yang tetap setiap hari.

5. Utamakan posisi tidur mengiring berbanding posisi terlentang.

6. Tinggikan kepala katil anda lebih kurang 4 inci ke atas supaya posisi kepala lebih tinggi dan lidah tidak tertolak ke belakang.

Sekiranya anda mengalami masalah tidur berdengkur, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan ubat khusus bagi merawat penyakit tersebut.

Ubat yang dibekalkan hendaklah berupaya memperbaiki keseluruhan fungsi organ dalaman termasuk hidung, saluran esofagus dan anak tekak. — EdisiRakyat.com, 19 Oktober 2017

Jenis-jenis migrain, punca dan cara merawatnya

$
0
0
MIGRAIN merupakan sejenis serangan penyakit yang berlaku apabila seseorang itu mengalami sakit kepala yang berulang-ulang, berbeza tahap kesakitan, kekerapan dan jangka masa serangan. Amatlah penting bagi anda yang kerap mengalami sakait kepala untuk mengetahui sama ada anda terkena migrain, jenis migrain, punca dan cara merawatnya.

Migrain berasal daripada perkataan Perancis yang bermaksud sakit kepala sebelah.

Biasanya serangan sakit kepala sebelah boleh menyebabkan sakit yang teruk di sebahagian kepala atau keseluruhan kepala.




Jenis-jenis migrain

1. Migrain tanpa aura

Migrain tapa aura adalah keadaan di mana anda mengalami sakit kepala yang berdenyut-denyut disebelah kepala dan anda ternampak bayangan bergaris-garis.

Anda juga sering terjaga dari tidur akibat kesakitan yang amat kuat.

Ketika anda mengalami migrain jenis ini, anda akan berasa sangat loya, muntah dan terlalu sensitif kepada cahaya dan bunyi.

Denyutan yang dirasakan amat sakit sehingga apabila disentuh menyebabkan penghidapnya boleh pengsan.

2. Migrain dengan tanda aura

Migrain jenis ini jarang berlaku.

Anda akan mengalami pandangan seolah-olah ternampak garisan yang membesar dan kemudiannya hilang.

Penghidapnya akan terasa mabuk dan kebas-kebas pada bahagian dalam badan beberapa minit sebelum diserang migrain jenis ini.

3. Opthalmoplegic migrain

Migrain jenis ini terlalu jarang berlaku.

Ini sangat teruk sehingga kesakitan ini boleh menyebabkan mata anda menjadi sepet kemudian juling dan buta sementara dalam beberapa minit.

4. Status migrain

Ia berlaku apabila seseorang itu mengalami migrain yang teruk dan berterusan.

Keadaan ini boleh menyebabkan penghidapnya terkena serangan strok.

Migrain yang berlaku berulang-ulang pada kanak-kanak menyebabkan mereka muntah-muntah dan sakit perut.


Punca migrain

1. Mewarisi daripada keturunan atau genetik.

2. Aktiviti saraf 'trigemino' yang mengawal saraf dalam kepala dengan 'neurotransmitter' yang dipanggil substance P dan lain-lain neurotransmiter seperti 'stamine' dan ' kinine' menyebabkan urat-urat darah dalam kepala mengembang dan berdenyut.

3. Aktiviti yang berlebihan pada pangkal otak mengakibatkan neurotransmiter seperti 'norepheneherine' dan 'serotinin' yang menjadikan urat darah sempit, kembang dan mengakibatkan rasa sakit.

4. Tekanan perasaan atau stress.

5. Terlalu banyak minum minuman yang berkafein seperti kopi ataupun minuman beralkohol.

6. Terdedah kepada cahaya yang sangat terang atau kepanasan melampau.

7. Perubahan cara tidur atau tidak cukup tidur.

8. Keletihan yang keterlaluan.

9. Pengambilan pil perancang.

10. Haid yang tidak teratur.

11. Pengambilan pemanis tiruan seperti sakarin.

12. Mengambil makanan yang mengandungi serbuk perasa (Monosodium Glutamat) yang berlebihan.


Cara dan kaedah merawat migrain

1. Amalkan gaya hidup sihat dengan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan, melakukan senaman rutin 3 kali seminggu dan minum air secukupnya bagi mengekalkan fungsi tubuh badan yang sihat.




2. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti pada waktu malam.

3. Elakkan pengambilan minuman berkafein yang boleh menyumbang kepada serangan migrain.

4.Kenal pasti keadaan yang boleh menjadi punca anda terkena serangan migrain dah cuba elakkannya.

5.Bagi wanita yang sedang merancang kehamilan, kenal pasti sama ada kaedah perancang yang anda gunakan boleh menyumbang kepada migrain atau pun tidak.

Jika ya, dapatkan nasihat doktor dan beralih kepada kaedah perancang yang lain.

6. Elakkan melakukan kerja yang memberi tekanan melampau dan tangani stress dengan aktiviti riadah yang menyihatkan.

7. Rujuk kepada doktor jika anda menghidap sakit kepala berpanjangan atau migrain. Doktor biasanya membantu anda dengan memberikan anda ubat khusus merawat sakit kepala dan migrain.

Ubat yang dibekalkan adalah berbentuk tablet diperbuat daripada glukosa yang bertujuan supaya ia dapat membaiki kerosakan DNA pesakit migrain, memperbaiki sistem saraf kepala dan menguatkan imunisasi tubuh.— EdisiRakyat.com, 20 Oktober 2017

Kasih ibu: sanggup redah rumah terbakar demi selamatkan bayi

$
0
0
KASIH seorang ibu, itulah yang dapat digambarkan terhadap tindakan seorang wanita, sanggup meredah rumahnya yang sedang marak dijilat api demi menyelamatkan bayinya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 3.45 petang di Pangsapuri Proton Seksyen 27, Shah Alam, ketika seorang ibu berusia lingkungan 20-an sedang memasak apabila tong gas yang digunakan tiba-tiba disambar api.

Ketua Balai Bomba Shah Alam, Azmel Kamarudin dilaporkan berkata, wanita tersebut terkejut apabila menyaksikan tong gas memasak di dapurnya tiba-tiba terbakar. Dia terus berlari keluar ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

"Dia panik dan terus berlari keluar untuk mendapatkan bantuan. Namun pada waktu itu dia baru menyedari bahawa api merebak begitu cepat dan bayinya yang baru dilahirkan masih berada di dalam rumah."

"Pada saat itu, dia memberanikan diri berpatah balik masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan bayi," kata Azmel seperti yang dipetik oleh NST.

Katanya, kedua-dua anak dan ibu berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan. Kebakaran tersebut telah memusnahkan 50 peratus rumah berkenaan.

Lapan anggota bomba dan penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.53 petang. — EdisiRakyat.com, 20 Oktober 2017

kebakaran flat proton
Viewing all 888 articles
Browse latest View live