Quantcast
Channel: EdisiRakyat
Viewing all 888 articles
Browse latest View live

SPRM tahan pengarah kolej swasta kes rasuah luluskan sijil

$
0
0
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan menerima lima hari perintah reman terhadap seorang pengarah urusan sebuah kolej swasta berusia 53 tahun untuk membantu siasatan kes rasuah di dalam pengeluaran sijil-sijil kepada pelajar.

Lelaki berkenaan ditahan oleh SPRM di Bandar Pusat Jengka Maran petang semalam.

Lelaki itu dilaporkan tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan, sekitar jam 10 pagi sebelum Majistret Nordiana Abd Aziz membenarkan permohonan reman terhadapnya sehingga 4 Oktober.

Peguam Datuk Ng See Teong, yang mewakili saspek berkata perintah reman telah dikeluarkan berikutan permohonan dibuat oleh pegawai pendakwa raya SPRM, Kamariah Seman.

Permohonan reman itu dihantar berdasarkan bukti-bukti bahawa lelaki berkenaan dipercayai telah mengeluarkan sijil-sijil kepada pelajar-pelajar bagi membolehkan mereka untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan di luar negara.



Difahamkan suspek dikatakan menerima sejumlah wang tunai sekitar RM2,500 dari setiap pelajar perubatan yang mahu mendapatkan sijil berkenaan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau 5 kali ganda nilai suapan. — EdisiRakyat.com, 30 September 217


Polis Terengganu siar 50 gambar penjenayah paling dikehendaki di Facebook

$
0
0
PIHAK polis semalam dilapor menyiarkan 50 foto-foto dan butiran penjenayah paling dikehendaki di negeri itu bagi membantu siasatan kes-kes berkaitan jenayah kekerasan dan rogol.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata, di antara mereka terdapat tiga orang adik beradik dan seorang wanita berusia 27 tahun dari Alor Lintang Kampung Raja di Besut.

Menurutnya, mereka kini dicari bagi membantu siasatan polis di dalam satu kes yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana mengakibatkan kecederaan parah.

"Tiga puluh empat daripada suspek-suspek itu berasal daripada Daerah Besut, dan berumur di antara 30 dan 60 tahun," katanya.

Menurut Fazlisyam, 50 gambar suspek-suspek itu akan dimuat naik di akaun laman sosial Facebook Polis Terengganu.

"Selepas kami menyiarkan 30 gambar-gambar suspek lima hari lalu, dua daripada mereka telah menyerah diri di balai polis Kemaman dan Besut, manakala sebuah keluarga di Kuala Terengganu memaklumkan pihak polis tentang lokasi saudara mereka," katanya.



Kata Fazlisyam lagi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri itu akan menerbitkan lagi lebih 600 gambar-gambar penjenayah paling dikehendaki untuk mendapatkan maklumat awam bagi mengesan mereka. — EdisiRakyat.com, 2 Oktober 2017

Pelajar yang terselamat kebakaran tahfiz masih tak tahu rakannya maut

$
0
0
MESKIPUN sudah 18 hari kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, ibu kepada salah seorang mangsa yang terselamat masih cuba merahsiakan tragedi yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 orang guru itu dari pengetahuan anaknya.

Nor Faizah Aripshah, 42 ibu kepada Muhammad Shahir Shaharuddin yang berusia 11 tahun, salah seorang daripada 6 pelajar yang cedera dalam tragedi tersebut dilaporkan berkata, sehingga ke hari ini anaknya menyangka, hanya dua orang guru yang maut dalam kebakaran itu manakala rakan-rakannya semua selamat.

"Shahir sering bertanya, di ICU (unit rawatan rapi) manakah rakan-rakan yang lain ditempatkan, dia nak jumpa kawan-kawannya, dia tak tahu mereka semua sudah meninggal dunia, dia tak tahu bahawa kebakaran itu satu tragedi besar kepada negara,

"Bila dia (Mohd Shahir) tanya tentang kejadian itu, kami tak berani nak jelaskan apa-apa, kami hanya kata, awak sembuh dulu, lepas tu baru kami beritahu," katanya kepada wartawan seperti yang dipetik oleh NST.



Mohd Shahir kini dilaporkan beransur sembuh, dan masih lagi dirawat di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama seminggu akibat kebakaran pada tubuh badannya.

Menurut Nor Faizah, anaknya mengalami trauma setiap kali teringat tentang kejadian itu.

"Satu hari tu, dia nampak berita tentang kebakaran itu, dia menangis dan trauma, dia kata tak mahu lihat lagi berita tentang kejadian itu. Saya jaga dia setiap malam, adakala dia teringat-ingat, ketakutan, dan bercakap tentang Tahfiz sebab dia fikir dia di sekolah tahfiz bukan di hospital," katanya.

Menurut Nor Faizah, dia bersyukur kerana anak lelakinya itu kini semakin stabil dan beransur-ansur pulih selepas dua minggu berada di ICU sejak 14 September lalu.

Dalam kejadian awal pagi 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan 2 orang guru maut dalam kebakaran di tingkat 3 bangunan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

Berikutan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan tujuh remaja lelaki berusia antara 11 dan 18 tahun bagi membantu siasatan berhubung jenayah khianat menggunakan api.

Pada hari Khamis lalu, 2 remaja berusia 16 tahun telah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh 21 orang pelajar tahfiz dan 2 orang guru di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. EdisiRakyat.com, 2 Oktober 2017

Mahkamah Tinggi batalkan pembebasan Bilqis yang jatuhkan belon dalam majlis PM

$
0
0
MAHKAMAH tinggi dilaporkan telah menarik balik pembebasan seorang penari, Bilqis Hijjas yang didakwa melakukan perbuatan menghina dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh perdana Menteri dan isteri.

Hakim Mohamad Suffian Abdul Razak pada hari Selasa memerintahkan Bilqis, anak perempuan kepada arkitek terkenal Hijjas Kasturi supaya membela diri selepas menyebelahi rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret pada 1 Julai lalu yang membebaskannya daripada tuduhan tersebut.

Menurut hakim, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie kes terhadap Bilqis.

Ditemui oleh wartawan selepas keputusan itu, peguam yang membela Bilqis, Eric Paulsen berkata, pihaknya akan memanggil seorang saksi.

Bilqis dituduh menjatuhkan belon-belon daripada tingkat lima sebuah pasaraya di Bukit Bintang pada jam kira-kira pukul 3.15 petang pada 31 Ogos 2015.



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor ketika itu sedang menghadiri acara DiverseCity 2015, Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur di tingkat bawah bangunan yang sama.

Belon-belon tersebut mengandungi tulisan, "democracy" (demokrasi), "free media" (media bebas), dan "justice" (keadilan).

Wanita Itu didakwa di bawah Seksyen 14 akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan yang menghina dengan niat untuk mencetuskan kemarahan yang boleh menimbulkan kekacauan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM100 jika sabit kesalahan.

Bilqis, 27 sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret pada 24 September 2015, yang mana ketika itu beliau meminta dibicarakan. Hakim Majistret membebaskannya daripada tuduhan itu pada 1 Julai. EdisiRakyat.com, 3 Oktober 2017

Hakim minta ibu tentukan hukuman untuk anaknya

$
0
0
DALAM satu tindakan yang jarang-jarang dilihat dalam Mahkamah Malaysia, seorang Hakim Majistret pada hari Selasa memberi peluang kepada seorang ibu menentukan hukuman untuk dijatuhkan terhadap anaknya yang bersalah mengugut ibunya menggunakan sebilah gunting.

Majistret Nik Habri Muhamad dilapor meminta Rahimah Abdul Rahman, 52 untuk menghukum anak lelakinya, Adam Abdullah, 28 yang telah melakukan kesalahan itu di Lot 2606 Kampung Terap Banggu pada jam 9.30 pagi 19 Jun lalu.

Adam didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kata Nik Habri, Rahimah boleh memberi hukuman yang ringan ataupun berat terhadap anaknya.



Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

“Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak. Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan,” katanya.

Rahimah bagaimanapun dilaporkan telah memaafkan anaknya, dan mengambil keputusan untuk mengenakan satu hukuman yang ringan. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 1 tahun penjara terhadap Adam bermula dari tarikh kesalahan dilakukan (19 Jun).

Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

“Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

“Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan,” katanya. EdisiRakyat.com, 4 Oktober 2017

Hakim bebaskan suspek kes ganja selepas polis mengaku tipu mahkamah

$
0
0
MAHKAMAH Tinggi Seremban dilapor melepas dan membebaskan seorang pelajar berusia 20 tahun dari Korea Selatan daripada tuduhan mengedar dadah selepas seorang pegawai polis mengaku menipu ketika ketika menjawab soalan balas peguam bela.

Hakim Abu Bakar Jais membebaskan Kim Yung Soung selepas pendakwaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan.

"Selepas mengambil kira kedua belah pihak, saya dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh," kata hakim seperti yang dipetik oleh portal The Star.

Kim dituduh mengedar 219g ganja di sebuah apartment di Bandar Baru Nilai Pada 19 Oktober tahun lalu. Tuduhan itu boleh membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.



Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes berkenaan, dan mahu tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Kim, Gobind Singh Deo berhujah bahawa anak guamnya patut dibebas dan dilepaskan daripada kesalahan tersebut.

"Anak guam saya juga telah ditahan reman hampir setahun. Tuduhan berkenaan tidak boleh dibiarkan tergantung-gantung dalam fikirannya," katanya.

Gobind berkata, fakta bahawa pegawai polis berusia 27 tahun yang mengetuai serbuan di apartmen berkenaan, telah mengaku menipu di dalam mahkamah, membuktikan bahawa dia bukan seorang seksi yang beribawa.

"Dia telah terang-terangan menipu. Itu pun selepas kita mencabarnya dan memberitahu dia bahawa kita akan memulakan prosiding Penghinaan Mahkamah terhadapnya tranny kita ada bukti bahwa dia menipu, dan dia telah mengakuinya," katanya.

Dalam prosiding mahkamah minggu lalu, Inspektor berkenaan telah mengaku bahawa dia menipu walaupun ditanya beberapa kali adakah terdapat orang lain bersama-sama dengan 10 orang pasukan penyerbu, ketika mereka menyerbu apartment Kim.

Malah dia tetap bertegas mengatakan tidak ada orang lain bersama dengan pihak polis ketika pihak pembelaan mendakwa mereka mempunyai rakaman CCTV menunjukkan bahawa terdapat seorang lagi individu hadir dalam keadaan bergari. — EdisiRakyat.com, 4 Oktober 217

Dr Mahathir kata beliau mungkin bertanding di Putrajaya

$
0
0
PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata ada kebarangkalian beliau mungkin bertanding di Putrajaya dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Ya, mungkin saya akan bertanding di Putrajaya. Kamu boleh beritahu mereka saya mungkin akan bertanding," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di ibu pejabat PPBM semalam berhubung laporan bahawa beliau akan bertanding di Putrajaya.

Sejak tahun lalu, terdapat banyak gesaan kepada beliau agar bertanding dalam pilihan raya, termasuk permintaan dari Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mencadangkan supaya beliau bertanding di Putrajaya.

Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi Pakatan Harapan, baru-baru ini menyatakan Langkawi atau Putrajaya merupakan pilihannya.

Kedua-dua kawasan itu mempunyai makna yang besar bagi Dr Mahathir, dan kedua-duanya kini disandang oleh wakil rakyat dari Barisan Nasional.



Kerusi bagi parlimen Putrajaya kini disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan. — EdisiRakyat.com, 5 October 2017

Polis selamatkan 46 ekor kucing dikunci dalam sebuah rumah

$
0
0
SEBANYAK 46 ekor kucing hari ini diselamatkan oleh sepasukan polis daripada dikurung dan terabai di sebuah apartmen di Bandar Baru Sentul di sini, ekoran aduan kelab pencinta kucing yang mengesyaki seorang lelaki, memperguna kucing-kucing itu untuk mendapatkan wang.

Pengerusi Sahabat Kucing Jalanan, Mohd Rosli Mohd Ariffin berkata beliau dan sekumpulan orang ramai mengesyaki lelaki menganggur itu mengumpan kucing-kucing berkenaan melalui laman Facebooknya untuk mendapatkan sumbangan kewangan, kononnya bagi membeli makanan dan merawat kucingnya yang sakit.

Berikutan itu, beliau semalam membuat  laporan polis di Balai Polis Sentul.

Hari ini beliau dan rakan-rakan bersama sekumpulan anggota polis pergi ke rumah lelaki berumur 41 tahun itu,kira-kira 11.45 pagi dan mendapati kesemua kucing berkenaan terkurung di dalam beberapa sangkar dalam keadaan tidak terurus.



"Sangat menyedihkan apabila melihat kucing-kucing itu dikurung di dalam sangkar kecil di dapur rumah dengan keadaan yang tidak terurus dan berbau busuk. Hampir keseluruhan kucing itu dijangkiti 'Sporo' dan mengalami demam," katanya kepada pemberita di sini.

Penyakit Sporotrichosis atau dikenali sebagai "Sporo", katanya,  disebabkan oleh fungus yang berasal daripada persekitaran tanah, tumbuhan dan spesies haiwan.

Menurut Mohd Rosli, pemilik kucing itu memuat naik status dan video kucingnya sejak beberapa bulan lalu dalam beberapa laman Facebook berkaitan kucing dan meminta bantuan kewangan.

Seorang netizen yang turut mengesyaki perbuatan lelaki  telah menyatakan dalam sebuah ruangan komen Facebook bahawa lelaki itu seorang penipu kerana memiliki 23 akaun Facebook dan menggunakannya untuk 'menjual'çerita kucing-kucingnya.

Bernama bersama wakil media lain yang turut serta ke rumah lelaki itu mendapati persekitaran luar dan di dalam apartmen aras dua bangunan empat tingkat itu dipenuhi dengan sampah sarap dan kelihatan wayar elektrik dan timbunan kabel Astro berselirat di ruang tamu unit apartmen itu.

Polis mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memujuk lelaki berkenaan supaya menyerahkan kucing-kucing tersebut.

Sementara itu, lelaki berkenaan yang mendakwa sayangkan semua kucingnya,  berkata beliau tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah sejak ibunya meningggal dunia April lalu.

Katanya, beliau membela kucing sejak beberapa tahun lalu dan jumlah kucing yang dibela  semakin bertambah sebagai temansejak ibunya meninggal dunia.

"Rumah saya sempit...saya tidak ada tempat lain untuk tempatkan kucing-kucing ini. Saya tidak dera, cuma saya tidak mampu merawat kucing yang sakit sebab saya tiada duit," katanya dan menambah, sebab itu beliau bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk menyara kucing-kucing berkenaan.

Seorang jiran lelaki itu memberitahu pemberita bahawa sebelum ini ada jiran yang  telah membuat aduan kepada pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai keadaan di apartmen itu kerana  tidak tahan dengan bau busuk di situ.

Sementara itu seorang anggota Kelab Pencinta Kuching Malaysia Datuk Leen Mustafa, 38, yang ditemui bersama pasukan polis di apartmen itu, berkata sebahagian daripada kucing-kucing yang diselamatkan itu kini ditempatkan sementara di sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan 'hotel kucing'.

Kelab Sahabat Kucing Jalanan pula telah mendapatkan bantuan rawatan untuk kucing-kucing yang kurang sihat dan berpenyakit, katanya.

"Kami sedang mengumpul dana untuk membiayai kos rawatan kucing-kucing itu," jelas beliau.

Orang ramai yang ingin menyumbang bantuan kewangan boleh menghubungi Kelab Pencinta Kuching melalui Leen di talian 019-3999962.— BERNAMA

Cara menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata dalam 2 hari

$
0
0
LINGKARAN gelap di bawah mata merupakan suatu mimpi buruk bukan sahaja bagi wanita, malahan bagi sesetengah lelaki yang mementingkan penampilan diri.

Terdapat banyak faktor yang menjadi penyebab terbentuk lingkaran gelap bawah mata antaranya kerana stress, kurang tidur, perubahan hormon, gaya hidup yang terganggu, keturunan dan pelbagai faktor lain.

Masalah akan menjadi lebih teruk jika lingkaran gelap dibawah mata ini tidak dirawat dengan segera kerana ia akan memburukkan penampilan anda disamping menyebabkan gangguan kesihatan yang lain.

Walaupun di pasaran terdapat lambakan produk yang mampu membantu memulihkan masalah ini, tetapi kebanyakan produk yang berasaskan kimia ini kadangkala memberi kesan sampingan lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai kulit wajah yang sensitif.

Daripada membazir wang untuk produk dan rawatan mahal yang belum tentu menjanjikan hasil yang diinginkan, adalah lebih baik menggunakan bahan semulajadi yang sangat mudah didapati dengan harga yang murah dan mempunyai pelbagai khasiat serta selamat.

Bahan-bahan semulajadi ini mampu melenyapkan lingkaran gelap dibawah mata anda dalam 2 hari. Antaranya:

1. Tomato

Tomato adalah satu bahan yang sangat bagus untuk menyingkirkan lingkaran gelap kerana kandungan semulajadinya yang kaya dengan pelbagai vitamin mampu mengurangkan lingkaran gelap di samping menjadikan kulit anda lembut dan sihat.

Apa yang perlu anda lakukan adalah, campurkan sedikit jus tomato bersama 1 sudu teh jus lemon.

Kemudian sapukan campuran itu di keliling mata anda dan biarkan selama 10 minit ataupun sehingga kering.



Setelah itu, bilas dengan air. Lakukan rawatan ini sekurang-kurangnya seminggu dua kali. Anda boleh juga mengamalkan minum jus tomato bersama sedikit perahan lemon yang ditambah dengan daun pudina untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata.



2. Jus kentang

Ambil sebiji kentang dan sagat sehingga mengeluarkan jus.

Masukkan kentang yang sudah menjadi halus tadi ke dalam air.

Ambil bebola kapas dan celupkan di dalam larutan bercampur kentang tadi.

Tutup mata anda dan letakkan bebola kapas yang telah dicelupkan dengan larutan kentang tadi di atas kelopak mata anda.

Pastikan bebola kapas Ini melitupi semua permukaan yang mempunyai masalah lingkaran hitam tersebut.

Biarkan selama 10 minit dan bilas sehingga bersih dengan menggunakan air sejuk.


3. Uncang teh sejuk

Terdapat cara yang lebih mudah untuk menghapuskan lingkaran gelap bawah mata iaitu dengan menggunakan uncang teh yang telah digunakan.

Uncang teh yang telah digunakan janganlah dibuang sebaliknya ambil dan letakkan di kelopak mata anda untuk merawat lingkaran gelap di bawah mata.

Ia adalah lebih baik jika uncang teh tersebut adalah uncang teh hijau ataupun yang mengandungi chamomile kerana khasiatnya yang sangat baik dapat menyerap ke dalam mata dan memberi khasiat kepada kulit di sekeliling mata anda sekaligus mengembalikan kesegaran mata anda.

Sebelum menggunakannya pastikan anda meletakkannya di dalam peti sejuk seketika dan kemudian barulah letakkan di kelopak mata.

Cara ini boleh diaplikasikan setiap hari untuk mendapat kesan yang memberangsangkan.


4. Minyak badam

Kacang badam terkenal dengan khasiatnya yang kaya dengan vitamin E dan menyumbang kepada penghasilan kulit yang lembut.

Minyak yang berasaskan sumber semulajadi ini adalah selamat digunakan dan tidak memberikan kesan sampingan.

Anda hanya perlu menyapukan sedikit minyak badam ini di sekeliling mata anda pada waktu malam sebelum tidur dan lakukan urutan lembut di sekeliling mata.




Biarkan ia sepanjang malam dan cuci selepas bangun tidur.


5. Susu sejuk atau air sejuk

Penggunaan susu sejuk ataupun air sejuk mampu mengurangkan lingkaran gelap di bawah mata dengan sangat efektif sambil melegakan mata dan kulit anda.

Caranya cukup mudah. Ambil bebola kapas dan rendamkan seketika di dalam susu yang sejuk ataupun air sejuk seketika.

Kemudian, letakkan kapas yang telah direndam tadi di kelopak mata anda sehingga menutupi semua permukaan yang mempunyai lingkaran gelap.

Biarkan seketika dan kemudian cuci sehingga bersih. Rawatan ini boleh dilakukan sekerap yang mungkin untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.


6. Jus oren

Jus oren bukan sahaja sedap diminum tetapi mempunyai manfaat lain iaitu mampu menghapuskan lingkaran gelap di bawah mata anda.

Caranya adalah dengan mencampurkan sedikit jus oren bersama glycerin.

Sapukan campuran ini di sekeliling mata anda dan biarkan seketika sebelum dicuci dengan air yang bersih.

Ia bukan sahaja mampu merawat lingkaran gelap di bawah mata anda malah membuat mata anda kembali bersinar secara semulajadi.


7. Yoga/ Meditasi

Penghasilan lingkaran gelap di bawah mata bukan sahaja disebabkan kurang tidur malahan ianya berpunca dari pelbagai faktor seperti stress, depresi dan cara hidup yang tidak sihat.

Tiada satupun rawatan yang benar-benar berkesan jika minda anda sentiasa berada dalam tekanan dan tidak tenang.




Melakukan yoga dan meditasi sekerap yang mungkin bukan sahaja mampu menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata malahan dapat menenangkan minda, badan dan jiwa anda.

Ia juga mampu mengembalikan keserian wajah anda secara semulajadi.


8. Timun

Seringkali kita melihat pakar perawatan wajah meletakkan hirisan timun di bahagian mata ketika melakukan rawatan wajah

Tetapi seberapa kerap kita mengambil peduli perkara ini dan melakukannya di rumah?

Seringkali kita mengabaikan cara yang mudah dan selamat ini sebaliknya sibuk mencari pelbagai produk yang mahal di pasaran yang menjanjikan keberkesanan yang belum tentu.

Cara yang paling mudah untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata adalah menggunakan berapa hirisan timun yang diletakkan di kelopak.

Pastikan hirisan timun ini dibiarkan selama 30 minit di dalam peti sejuk sebelum diaplikasikan ke mata anda.

Selepas 30 minit dibiarkan di dalam peti sejuk, letakkan di kelopal mata anda dan biarkan selama 10- 15 minit.

Setelah itu, timun itu bolehlah dibuang dan cuci mata anda dengan air yang bersih.

Anda dapat merasakan kesegaran mata anda serta merta selepas menggunakan hirisan timun tersebut.


9. Daun pudina

Pudina adalah sangat signifikan dengan fungsi ini yang memberi kesegaran.

Tetapi bukan itu sahaja, daun pudina juga mampu menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata.



Caranya adalah dengan menumbuk daun pudina bersama sedikit air sehingga menghasilkan campuran separa pepejal.

Sapukan campuran daun pudina tadi di sekeliling mata. Biarkan selama 10 minit dan kemudian cuci dengan air bersih.

Lakukan rawatan ini setiap malam sebelum tidur dan anda pasti akan terkejut dengan keberkesanannya yang amat menakjubkan.


10. Air mawar

Air mawar dikenali kerana kemampuannya meremajakan kulit dan digunakan secara meluas dalam rawatan kecantikan.



Ia juga sangat berkesan untuk menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata dengan sangat pantas.

Caranya adalah dengan merendamkan bebola kapas di dalam air mawar dan kemudian letakkan ia di permukaan kelopak mata anda sehingga melitupi lingkaran gelap di mata anda. Biarkan selama 15 minit dan kemudian cuci dengan air sejuk.

Ulangi Langkah ini setiap malam selama sebulan untuk mendapatkan hasil yang sangat memuaskan.

Selamat mencuba!— EdisiRakyat.com, 5 October 2017

Polis tahan Jamal Yunos kerana pecahkan arak di pagar SUK Selangor

$
0
0
PIHAK Polis dilaporkan telah menahan Datuk Jamal Yunus, ketua Umno Bahagian Sungai Besar, selepas dia melakukan aksi memecahkan botol-botol arak menggunakan tukul besi di depan pintu masuk Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) Selangor semalam.

Menurut Polis Selangor dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Jamal yang juga merupakan pemimpin gerakan baju merah ditahan bersama tujuh lagi pengikut-pengikutnya untuk disiasat, di bawah Seksyen 143 dan Seksyen 268 Kanun Keseksaan, kerana terlibat dalam perhimpunan haram dan menyebabkan gangguan kepada orang awam selepas satu laporan polis dibuat oleh pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan SUK.

Jamal dan pengikut-pengikutnya dilaporkan ditahan pada 1.45 pagi tadi di Sekinchan, Sabak Bernam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat dipetik sebagai berkata, pihaknya membawa tahanan-tahanan tersebut ke mahkamah Shah Alam hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Semalam, Jamal telah memecahkan 10 kotak yang dilapor mengandungi 100 botol arak di luar bangunan SUK Selangor dikatakan sebagai simbol protes sebarang cubaan untuk mengadakan pesta arak di negeri itu.



Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu tiba di bangunan kerajaan negeri dan cuba untuk masuk bagi berjumpa dengan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, untuk menyuarakan bantahannya.

Bagaimanapun Jamal dan pengikut-pengikutnya tidak dibenarkan masuk oleh pegawai keselamatan yang bertugas, ini menyebabkan Jamal memecahkan botol-botol arak di depan pintu pagar bangunan berkenaan.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Jamal dan pengikutnya boleh Dipenjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.



Pihak berkuasa tempatan telah menolak untuk memberi kebenaran kepada penganjuran pesta arak Oktoberfest, yang dijadualkan di kompleks beli-belah One Utama di Petaling Jaya selepas polis daerah memaklumkan bahawa Acara itu akan mengundang serangan pengganas.

Acara makanan dan minuman Jerman itu yang dijadualkan di sebuah pasaraya di Klang juga dilaporkan sudah dibatalkan selepas pihak polis memaklumkan terdapat ancaman keselamatan kepada acara itu. EdisiRakyat.com, 6 Oktober 2017

Pemandu teksi kenakan tambang RM950 dari KL Sentral ke Setapak

$
0
0
DUA warga Bangladesh dilaporkan terpaksa membayar tambang teksi berjumlah RM950 untuk perjalanan sejauh hanya 10km dari KL Sentral ke Setapak, pada hari Sabtu lalu.

Sumber daripada pihak polis memaklumkan kejadian tersebut berlaku selepas dua warga asing itu tiba dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu.

Mereka berdua pada asalnya ditawarkan harga tambang sebanyak RM50 untuk setiap orang bagi perjalanan ke Setapak, membuatkan mereka segera bersetuju tanpa berfikir panjang.

Bagaimanapun lain ceritanya bila mereka sudah sampai ke destinasi yang ditujui.

Pemandu teksi memberitahu mereka harus membayar tambang sebanyak RM950.



"Mereka berdua pada asalnya membantah namun akhirnya mengalah kerana bimbang akan dicederakan. Pemandu teksi itu mempunyai kayu dan batang besi di dalam keretanya," kata sumber polis yang dipetik oleh NST.

Selepas menyerahkan wang berkenaan, mereka terus membuat aduan di Balai Polis Salak Selatan.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dilaporkan turut menerima aduan yang sama. SPAD berjaya mengesan dan menahan pemandu berkenaan yang berumur 30 tahun selepas satu operasi khas dijalankan di pusat bandar semalam.

Kenderaan teksi yang digunakan juga Telah dirampas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 22 dan Seksyen 75 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). EdisiRakyat.com, 07 Oktober 2017

Polis Thailand tahan Rakyat Malaysia bawa ganja 176kg

$
0
0
POLIS Thailand dilaporkan telah menahan seorang lelaki rakyat Malaysia semalam di Pusat Pemeriksaan Sempadan, Sadao dan merampas ganja seberat 176kg bernilai 4.4 juta Bath (RM550,000) di pasaran gelap.

Ganja berkenaan ditemui disembunyikan dalam sebuah van yang dipandu oleh lelaki berusia 28 tahun, ditemani oleh seorang wanita tempatan berusia 32 tahun ketika kenderaan itu berhenti untuk pemeriksaan pada jam 7 pagi waktu tempatan.

"Lelaki itu mengaku telah menerima wang RM500 dari rakan senegaranya untuk membawa dadah tersebut masuk ke Malaysia menggunakan kenderaan berkenaan," kata Timbaoan Ketua Polis, Kittipat Runruai kepada wartawan.

Kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan dari daerah Nakorn Si Thammarat, kini sudah ditahan di balai polis Sadao untuk siasatan lanjut. — EdisiRakyat.com, 7 Oktober 2017


'Morning sickness' atau alahan ibu hamil, kesan dan cara mengatasinya

$
0
0
MUAL dan loya ketika kehamilan yang berlaku hanya pada waktu pagi atau berlarutan sepanjang hari pasti membuatkan anda merasa tidak selesa.

Ia juga boleh membimbangkan, terutama apabila ia menyebabkan penurunan berat badan.
Bagi kebanyakan wanita hamil, mabuk hamil tidak mengancam kesihatan dan biasanya akan hilang menjelang semester kedua.

Tiada punca yang tepat untuk menerangkan mengapa 'morning sickness' ataupun alahan di pagi hari ini terjadi.

Ia mungkin berkaitan hormon hCG dan estrogen yang tinggi semasa kehamilan. Adakalanya alahan dipagi hari ini menyebabkan penurunan berat badan di awal kehamilan tetapi jarang menyebabkan masalah lain dan kebiasaannya ibu hamil akan mendapatkan kembali berat badan mereka menjelang hujung kehamilan.



Bagi mereka yang mengalami alahan berbentuk mual dan loya, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil untuk meredakan 'morning sickness' ini.


1.Kenalpasti bila ia menyerang.

Rasa mual dan loya cenderung menjadi lebih teruk apabila perut anda terlalu kenyang atau lapar.

Oleh itu, pastikan anda mengambil makanan seimbang dengan kuantiti sederhana tetapi kerap berbanding makan dengan kuantiti yang banyak.


2.Kenal pasti makanan yang membuatkan anda merasa mual dan cuba elakkan pengambilannya dalam diet anda.

Sesetengah wanita mendapati pengambilan snek seperti keropok atau roti bakar kadangkala menimbulkan rasa tidak selesa dan perasaan cemas.

Elakkan makanan yang boleh membuatkan anda tidak selesa walaupun anda begitu menggemarinya di saat hamil jika anda tidak mahu terus menerus mengalami alahan.


3. Menambah halia dalam diet harian anda juga boleh membantu. Bagi mereka yang tidak mempunyai waktu untuk memasak, cukup dengan meminum teh halia, halwa halia atau memakan gula-gula halia.



Ia sedikit sebanyak dapat membantu anda menghilangkan rasa mual yang mengganggu di pagi hari.


4. Minum air secukupnya tetapi jangan minum terlalu banyak pada satu-satu masa.

Sesetengah ibu hamil kerap mengalami loya apabila makan dan minum dalam satu masa. Jika keadaan ini berlaku, cuba ambil makanan pepejal dan cecair secara berasingan untuk melihat apakah itu membantu.


5. Bau makanan tertentu, terutamanya semasa memasak, boleh menjadi masalah. Elakkan makanan tersebut jika anda sedang menyiapkan makanan, dan mintalah seseorang untuk membantu menyediakan makanan jika memasak mencetuskan rasa mual.


6. Perhatikan bila dan bagaimana anda mengambil vitamin pranatal anda. Mengambil mereka pada waktu pagi kadang-kadang boleh membuat loya anda menjadi lebih teruk.

Jika anda mengalami keadaan seperti ini, cubalah menukar waktu pengambilan ubat ke waktu petang. Mengambil vitamin anda saat anda sedang makan juga mungkin boleh membantu.

Sekiranya dengan mengubah cara pengambilan tetap menyebabkan rasa mual, cubalah vitamin yang mempunyai kandungan besi yang lebih rendah atau bebas besi sehingga anda berasa lebih baik dengan nasihat doktor.


7. Akupunktur mampu mengurangkan alahan bagi sesetengah wanita hamil. Akupunktur melibatkan memasukkan jarum yang sangat halus ke dalam kulit pada titik-titik strategik pada badan.

Anda boleh cuba mendapatkan khidmat akupuntur di pusat rawatan akupunktur yang bertauliah.



8. Jika mual berterusan, cuba dapatkan nasihat doktor anda. Mereka mungkin mencadangkan ubat-ubatan lain yang dapat membantu anda mengatasi alahan.

Contohnya, ubat anti-loya dan ubat-ubatan untuk mengurangkan pengeluaran asid dalam perut. Gabungan doxylamine succinate untuk membantu tidur anda dan vitamin B6 mungkin disyorkan untuk mengurangkan gejala alahan.

Kesan alahan yang teruk saat hamil

Sebilangan kecil wanita mengalami loya dan muntah yang serius semasa mengandung dipanggil hyperemesis gravidarum.



Wanita hamil yang mengalami masalah ini kerap mengalami masalah penurunan badan yang serius.

Sekiranya ia tidak dirawat dengan cepat, hiperemesis gravidarum mungkin memerlukan penghidapnya dimasukkan ke hospital.

Jarang sekali, ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang atau bayi mengalami kekurangan berat ketika lahir.

Sekiranya anda melihat tanda-tanda selain loya, seperti sakit kepala sehingga menganggu penglihatan, pening, pengsan, degupan jantung cepat, atau ketidakupayaan untuk menyimpan makanan atau cecair selama lebih dari 12 jam, segeralah rujuk kepada klinik kesihatan. Anda mungkin memerlukan pemantauan atau rawatan tambahan.

Walaupun 'morning sickness' bukanlah sebahagian daripada kehamilan yang menyenangkan, bagi kebanyakan wanita, alahan ini mampu diatasi dengan penjagaan diri dan masa, dan tidak akan memberi masalah yang berpanjangan.— EdisiRakyat.com, 7 Oktober 2017

Dua maut dihempap pokok besar ketika dalam perjalanan

$
0
0
MALANG tidak berbau, dua maut manakala tiga lagi cedera parah apabila sebuah kereta dan sebuah van yang dinaiki oleh mangsa dihempap pokok besar yang tiba-tiba tumbang di atas jalan yang dilalui mereka.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku di Batu Rakit Kuala Terengganu itu, dua mangsa, seorang pemandu van dan seorang pelajar berusia 17 tahun yang duduk di sebelah pemandu, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi pelajar yang duduk di bahagian belakang van dilaporkan cedera parah. Kedua-dua kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Produa Kancil yang dinaiki oleh dua orang wanita remuk dalam kejadian itu.



Pihak bomba yang datang dengan kekuatan 14 anggota, dilaporkan dibantu oleh penduduk tempatan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa-mangsa yang tersepit.



Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan. — EdisiRakyat.com, 8 Oktober 2017

Manfaat bawang merah untuk rawat jantung, kanser, hidung berdarah dan kesihatan anda

$
0
0
BAWANG merah tentunya membuat anda terfikir tentang penggunaanya dalam masakan. Ia bukanlah sesuatu makanan yang digemari semua orang, tetapi tahukan anda khasiat yang terkandung dalam bawang merah mampu memberi banyak manfaat untuk kesihatan anda.

Menurut penyelidik, bawang merah dapat melakukan keajaiban ketika dimakan mentah, seperti menghentikan pendarahan hidung, mencegah masalah jantung, dan bahkan membunuh sel-sel kanser.

Bukan itu sahaja, bawang merah yang kaya dengan pelbagai vitamin dan mineral, seperti folat, tiamin, kalsium, magnesium, kalium, mangan dan vitamin C, K dan B-6 mampu membantu menjaga kesihatan tubuh setiap hari dan boleh membantu mencegah penyakit kronik.



Antara keajaiban yang boleh dilakukan oleh bawang merah untuk kesihatan anda adalah:

1. Menghentikan Pertumbuhan Sel Kanser

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa penggunaan bawang merah  dengan bantuan sebatian sulfur, berupaya untuk melindungi tubuh dari kanser perut dan ulser.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh membantu dalam melawan bakteria dalam saluran kencing anda.


2. Kawalan Diabetes

Bawang merah yang dimakan mentah boleh membantu mengawal diabetes kerana keupayaannya untuk meningkatkan pengeluaran insulin di dalam tubuh badan.





3. Merawat Sembelit

Anda tentu sentiasa berasa stress apabila perlu duduk lama di dalam tandas kerana masalah sembelit. Sembelit mampu membuat wajah anda kelihatan kusam dan menjadi punca stress kerana pengumpulan toksin berlebihan didalam badan.

Tahukah anda bahawa bawang merah adalah penawar yang mujarab di mana ia juga mengandungi serat yang amat membantu dalam menyingkirkan toksin daripada badan dan menyembuhkan sembelit.


4. Mengubati sakit tekak

Mungkin anda tidak tahu bahawa bawang dahulunya kerap digunakan oleh nenek moyang kita dalam penghasilan ubat tradisional untuk merawat selesema dan sakit tekak.

Ia bukan sahaja sangat berkesan, malahan murah dan mudah didapati di mana-mana.


5. Menghentikan pendarahan hidung

Pernahkan anda mengalami hidung berdarah secara tiba-tiba sehingga membuatkan anda panik lebih-lebih lagi ketika cuaca panas? Usah risau, kerana dengan hanya menghidu bau bawang merah, ia mampu membantu menghentikan pendarahan hidung anda.





6. Melindungi Hati

Bawang juga dikatakan sangat membantu mengawal tekanan darah dan menstabilkan tekanan darah disamping melindungi tubuh daripada penyakit koronari.


7. Mengawal Tahap Kolesterol

Menurut Zhen Yu Chen dari Universiti Cina Hong Kong, dengan memakan bawang mentah boleh membantu dalam mengawal paras kolesterol dalam darah sekaligus mengurangkan risiko serangan jantung.

Untuk mendapatkan badan yang sihat, tidak perlu dengan memakan supplemen yang belum tentu terbukti keberkesanannya, tetapi amalan gaya hidup sihat dan mengamalkan makanan seimbang serta memakan makanan dari sumber alami seperti bawang merah yang sudah terbukti khasiatnya.

Bukan sahaja anda dapat menyelamatkan poket anda, tetapi anda bebas dari kesan sampingan bahan-bahan kimia dari lambakan produk yang siap diproses yang belum tentu selamat untuk anda.— EdisiRakyat.com, 8 Oktober 2017

Pemandu teksi kenakan tambang RM950 berjaya diberkas

$
0
0
SEORANG pemandu teksi yang dilapor mengenakan tambang sebanyak RM950 kepada dua penumpang warga Bangladesh untuk perjalanan sejauh hanya 10km dari KL Sentral ke Setapak, telah berjaya diberkas.

Berdasarkan satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata, pasukan khasnya mengenali dan telah menahan pemandu tersebut, yang berusia lingkungan 30-an, pada hari Khamis lalu (5 Oktober) berdasarkan laporan polis yang dibuat pada 18 September.

"Kami telah mengarahkan pemandu berkenaan dan pengendali teksi memberi keterangan di pejabat kami. Teksi yang digunakan juga telah dirampas bagi membantu siasatan."

"Pemandu berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 75 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, dan sekiranya sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih dari RM50,000 atau hukuman penjara untuk satu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya,"



Tambahnya lagi pengendali teksi pula kini disiasat di bawah Seksyen 22 akta yang sama dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda sekurang-kurangnya RM1,000 namun tidak melebihi RM500,000, atau berdepan hukuman penjara untuk satu tempoh tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya.

Sebelum ini EdisiRakyat.com pada 6 Oktober 2017 melaporkan — dua mangsa yang baru tiba di Kuala Lumpur selepas menaiki bas dari Kuala Terengganu, dipaksa membayar tambang RM950 untuk perjalanan teksi hanya sejauh 10km.

Pemandu teksi kenakan tambang RM950 dari KL ke Setapak

Pemandu teksi berkenaan pada mulanya menawarkan tambang pada kadar RM50 untuk setiap orang, namun dia mengubah fikiran selepas penumpang sampai ke destinasi.

Berlaku sedikit pertengkaran, namun mangsa mengalah akibat bimbang dicederakan, kerana pemandu teksi berkenaan memiliki 1 batang kayu dan besi di dalam keretanya. EdisiRakyat.com, 8 Oktober 2017

Saya tiada niat untuk jadi Menteri Besar Selangor — Noh Omar

$
0
0
KETUA Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata beliau tidak ada niat untuk menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya merampas negeri berkenaan dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Beliau dilaporkan berkata, segala usahanya dan BN di dalam membantu penduduk Selangor selama ini dilaksanakan dengan jujur sebagai satu tanggungjawab kepada rakyat di negeri berkenaan.

"Seorang pemimpin tidak patut memasang cita-cita untuk memegang jawatan kerana ia boleh menyebabkan rasa kecewa, dan sekiranya tidak terpilih, boleh membawa perpecahan di dalam parti.

"Jawatan itu terpulang kepada pimpinan, keutamaan kita untuk menang di Selangor dulu. Sesiapa pun yang layak boleh jadi Menteri Besar," katanya kepada wartawan di Pangsapuri Taman Seri Aman Petaling Jaya.

Negeri Selangor telah diperintah oleh parti gabungan Pakatan Harapan yang diterajui oleh Datuk Seri Azmin Mohammed Ali dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tahun 2008.



Noh Omar antara pemimpin Umno Selangor yang disebut-sebut bakal dilantik menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan negeri itu pada pilihanraya umum yang akan datang. — EdisiRakyat.com, 8 Oktober 2017

Semakin ramai pelajar ambil dadah kerana harganya semurah RM5

$
0
0
PELAJAR sekolah dan universiti dilaporkan semakin ramai mengambil dadah kerana hanya perlu membayar semurah RM5 untuk membeli bahan terlarang itu yang membolehkan mereka kekal berjaga bagi mengulangkaji pelajaran ketika musim peperiksaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik oleh The Star sebagai berkata, apa yang membimbangkan ialah trend itu kini semakin meningkat.

"Statistik menunjukkan 73 peratus, mereka yang diuji disahkan positif menggunakan ATS (Amphetamine Type Stimulants)  kerana dadah berkenaan lebih murah berbanding kokain atau heroin," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan mereka yang mengambil dadah jenis itu adalah pelajar-pelajar sekolah menengah.



Dalam tahun 2013, seramai 1,222 disahkan positif, ia meningkat kepada 1,662 pada 2014, dan 1,938 pada tahun berikutnya.

Bercakap kepada wartawan selepas menghadiri satu taklimat keselamatan khas untuk ketua-ketua kampung seluruh negara, katanya kesan dadah sintetik, seperti ATS adalah berbahaya, jika diambil dalam jangka masa tertentu ia boleh membawa kepada kerosakan otak.

"Jika dadah seperti itu diambil selama 7 minggu, ia memakan masa sehingga tujuh tahun untuk penyembuhan dan pemulihan.

"Malah individu itu mungkin tidak dapat sembuh sepenuhnya," kata Nur Jazlan semasa sidang media.

Nur Jazlan yang juga ketua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata, beliau berharap semua universiti-universiti awam untuk menubuhkan kelab-kelab Pemadam.

"Kita beri mereka informasi dan bahan-bahan, dan pelajar-pelajar universiti menjadi aktivis-aktivis kita untuk menyebarkan maklumat tentang bahaya dadah," katanya.

Kata Nur Jazlan, pelajar-pelajar universiti yang menjadi aktivis patut diberikan habuan dengan jam kredit oleh universiti untuk mempromosikan usaha ini.

Katanya lebih banyak usaha diperlukan untuk membendung masalah masalah dadah di lokasi-lokasi panas antaranya perumahan awam, perkampungan nelayan, dan kawasan Felda.

"Lokasi panas' perkampungan nelayan adalah di Kedah, Perlis dan Kelantan, manakala kawasan panas Felda, kebanyakkannya di Pahang, dan kawasan panas perumahan kos rendah kebanyakkannya di Lembah Klang," katanya. — EdisiRakyat.com, 9 October 2017

Tingkat atas asrama Pusat Tahfiz Rantau Panjang Klang terbakar

$
0
0
SATU lagi kebakaran dilapor melibatkan tingkat atas sebuah asrama pusat tahfiz di Rantau Panjang, Klang yang musnah 100 peratus kira-kira jam 2.41 petang tadi.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Klang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan untuk menjalankan kerja menyelamat.

Dalam kejadian itu, penghuni tahfiz berkenaan difahamkan berada dalam kelas di tingkat bawah namun sempat menyelamatkan diri selepas terdengar jeritan kuat dan terhidu bau asap.



Seramai 25 orang pelajar termasuk dua tenaga pengajar terselamat dalam kebakaran itu. Punca kebakaran sedang disiasat.

Sepuluh hari lalu, asrama perempuan Sekolah Tahfiz Yayasan Sofa Astana, yang terletak di Rembau Negeri Sembilan terbakar memusnahkan 60 peratus bangunan berkenaan.

Tidak sampai sebulan sebelum itu, negara digemparkan dengan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 orang pelajar dan dua orang guru— EdisiRakyat.com, 9 Oktober 2017

Harga ikan kembung naik sebab laut bergelora, tangkapan kurang

$
0
0
KEKURANGAN ikan kembung di jeti pendaratan di seluruh negara menyebabkan harganya tidak stabil dan sedikit mahal sejak akhir-akhir ini, kata Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata tinjauan yang dilakukan di jeti pendaratan mendapati harga kembung memang meningkat dan kebanyakannya ditetapkan pada harga RM12 sekilogram.

"Kalau ikan kurang di tempat pendaratan, ertinya harga ikan akan naik. Jadi sukar untuk saya memaksa nelayan (menjual dengan harga murah seperti biasa) kerana waktu ikan kurang, mereka terpaksa pergi jauh ke laut dan menggunakan minyak (enjin) yang lebih, menggunakan tenaga yang lebih, tiba-tiba orang meminta saya mengawal harga pendaratan ikan.

"Apabila kurang ikan semasa pendaratan, maka kita kena akui (harga menjadi mahal) kerana kos untuk nelayan pergi ke laut lebih tinggi, tidak termasuk lagi musim yang tidak menentu, laut yang bergelora dan cabaran serta kemungkinan bahaya yang nelayan perlu lalui," katanya kepada pemberita.



Beliau meninjuau program Gotong Royong Perdana di tapak lokasi Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kerteh di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pemborong dan peruncit juga mempunyai risiko tertentu dan pastinya mereka turut mengambil margin keuntungan yang sekali gus menjadikan harga kembung yang dijual pada pembeli sedikit mahal.

"Sekarang telah masuk bulan Oktober dan laut mula bergelora yang menyebabkan harga ikan kembung telah naik dan kemungkinan ikan-ikan lain juga akan naik. Ia mengikut kaedah ekonomi iaitu sebagai contoh, kalau harga cawan naik, maha harga piring juga akan mengikut sama," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini masih belum terdapat teknologi yang membolehkan ikan kembung diternak seperti ikan siakap, tilapia dan sebagainya yang boleh menjadikan harganya stabil sepanjang masa. — BERNAMA
Viewing all 888 articles
Browse latest View live