BERSEMPENA dengan tarikh Pilihan Raya ke-14 yang akan diadakan pada 9 Mei, Putrajaya mengumumkan tarikh tersebut sebagai cuti umum tambahan.
Menurut keterangan dari pejabat Perdana Menteri, ia bertujuan untuk membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini yang menetapkan tarikh pengundian pada hari bekerja iaitu hari Rabu.
Terdahulu, keputusan itu menimbulkan banyak rungutan terutamanya di laman sosial yang mana orang ramai menyuarakan kesukaran untuk menunaikan tanggungjawab memandangkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja.
Berikutan pengundian sebelum ini jatuh pada hari bekerja, Kerajaan pimpinan Pakatan Harap iaitu Selangor dan Pulau Pinang juga sedang meneliti kemungkinan memberikan cuti peristiwa pada hari itu.

Menurut laporan Astro Awani, keputusan mengisytiharkan cuti umum ini adalah berdasarkan seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Manakala, bagi Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan-Kerajaan Negeri bertanggungjawab mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.— EdisiRakyat.com, 11 April 2018