MALANG bagi seorang mangsa kemalangan apabila menemui ajal di tangan pemandu ambulans. Tidak masuk akal tetapi itulah yang berlaku apabila seorang pemandu ambulans bertindak menterbalikkan seorang mangsa kemalangan yang muntah dan terkencing secara tidak sengaja di dalam ambulans yang dipandunya.
Menurut sumber seperti dipetik dalam laporan Astro Awani, mangsa mengalami kecederaan parah akibat kemalangan dalam kejadian 20 Mac lalu.
Mangsa kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan awal di Palakkad sebelum dipindahkan ke Thrissur dengan menaiki ambulans.
Menurut sumber polis seperti yang dipetik dalam laporan itu lagi, setibanya di hospital, pembantu perubatan yang mengiringi mangsa meninggalkan mangsa seketika untuk mendapatkan sarung tangan ketika kejadian malang itu berlaku.

Pemandu ambulans itu yang melihat muntah dan kencing mangsa di dalam ambulans berasa tidak puas hati lalu menterbalikkan mangsa dan meninggalkannya di atas pengusung di ruangan parkir hospital Thrissur Medical Collage, di Kerala, India.
Sungguhpun mangsa segera diangkat ke kerusi roda dan sempat menjalani pembedahan kecemasan, mangsa meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Sebuah video rakaman kejadian terbabit tular di media sosial menyaksikan kepala mangsa di atas pengusung terjuntai keluar dari ambulans dalam keadaan terbalik.
Kejadian itu membangkitkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat negara itu atas sikap melampau pemandu ambulans itu yang tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan.
Pemandu ambulans tersebut kini ditahan dan akan didakwa atas kesalahan jenayah kerana membahayakan nyawa seseorang.— EdisiRakyat.com, 27 Mac 2018