Quantcast
Channel: EdisiRakyat
Viewing all articles
Browse latest Browse all 886

Ketua Pembangkang Pulau Pinang enggan bertanding pada PRU14

$
0
0
KETUA Pembangkang Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid dilaporkan berkata penggal kali ini merupakan yang terakhir bagi dirinya sebagai Adun Teluk Ayer Tawar, kerana beliau mahu calon-calon lebih muda bertanding pada pilihan raya umum ke 14.

Katanya beliau telah menulis surat kepada pimpinan parti meluahkan hasratnya untuk memberi jalan kepada pemimpin lain bertanding di kerusinya dalam pilihanraya umum akan datang.

"Sudah sampai masa saya bersara dan beri jalan kepada calon lebih muda dan bertenaga untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional ini," kata beliau kepada wartawan dalam sebuah majlis di Politeknik Seberang Perai hari ini.

Wanita berusia 67 tahun itu kali pertama menjadi ahli dewan negeri pada tahun 1995 sebelum beliau dilantik sebagai Exco Jawatankuasa Sukan, Pemuda, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dari tahun 1999 hingga 2008.

jahara hamid

Beliau berjaya mempertahankan kerusinya pada tahun 2008 ketika Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Beliau menjadi ketua pembangkang negeri pada tahun 2013.

Katanya, sudah sampai masa untuk memberi peluang kepada orang lain untuk mempertahankan kawasannya, namun beliau akan kekal sebagai penasihat semasa kempen pilihanraya.

"Walaupun saya tidak akan bertanding, sebagai Ketua Wanita Umno Tasek Gelugor, saya akan terus membantu calon yang dipilih bagi memastikan kemenangan selesa kawasan ini," katanya.

Menurutnya, beliau telah membawa perubahan dan kemajuan ke DUN Teluk Ayer Tawar selama 24 tahun berkhidmat meskipun berdepan cabaran-cabaran di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

"Sebelum 2008, Saya telah memperbaiki infra struktur untuk rakyat seperti ruang niaga 200 gerai untuk penjaja, dan jeti nelayan bernilai RM40 juta di Bagan Ajam," katanya.

Bagaimanapun dakwanya, projek jeti nelayan fasa kedua, untuk membina ruang simpanan sejuk, sebuah pejabat untuk Persatuan Nelayan, sebuah restoran makanan laut dan sebuah pasar untuk nelayan telah dibatalkan selepas pentadbiran baru mengambil alih negeri.

"Rancangan saya untuk membina dewan besar orang ramai tidak dapat diteruskan walaupun saya telah mendapat tanah dan peruntukan disebabkan kerajaan negeri pada masa ini tidak meluluskannya," kata beliau.

Menyebut tentang penggantinya yang bakal berdepan dengan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), katanya rakyat tahu untuk mengundi siapa.

"Rakyat tahu semuanya tentang janji-janji kosong kerajaan negeri DAP yang gagal ditunaikan, dan mereka tahu bahawa PPBM akan buat perkara yang sama untuk mengundi dengan bijak," tambahnya. — EdisiRakyat.com, 10 Januari 2018

Viewing all articles
Browse latest Browse all 886