Quantcast
Channel: EdisiRakyat
Viewing all articles
Browse latest Browse all 886

Saya lebih suka berkhidmat di Selangor kata Azmin

$
0
0
TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Azmin Ali semalam dilapor menafikan kebarangkalian beliau menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Bercakap kepada wartawan, Menteri Besar Selangor itu menjelaskan bahawa beliau lebih suka kekal dengan jawatannya pada waktu ini sebagai seorang pemimpin peringkat negeri.

"Saya hanya seorang pemimpin peringkat negeri, jadi saya lebih suka meneruskan khidmat di Selangor," katanya.

Berhubung cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sementara, kata Azmin PKR telah memutuskan bahawa calon Perdana Menteri mestilah seorang yang komited untuk melakukan reformasi nasional.

Azmin Ali

Ahli Parlimen Gombak itu juga dilaporkan berkata semua ahli parti-parti Pakatan Harapan mesti mencapai satu konsensus sebelum melantik Perdana Menteri.

"Selain itu kita juga perlu mengumpul maklum balas daripada rakyat, kerana rakyat patut diberikan ruang untuk memutuskan masa depan negara bukan individu-individu tertentu,"

"Saya yakin Pakatan Harapan terbuka tentang isu ini untuk memastikan kita mendapat sokongan rakyat," katanya kepada wartawan selepas menghadiri Jelajah Keadilan, di Taman Sri Firdaus.

Azmin memberi maklumbalas kepada satu tinjauan yang dijalankan di Facebook, di mana netizen memilih Azmin dan naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Dilaporkan seramai 1,100 responden memilih Azmin dan Mukhriz berbanding Dr Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menjawat dua jawatan teratas negara. EdisiRakyat.com, 7 Januari 2018

Viewing all articles
Browse latest Browse all 886