MENDENGAR tentang kanser payudara pasti menimbulkan perasaan gentar bagi setiap wanita.
Menurut National Cancer Registry 2006 melaporkan seramai 3525 wanita Malaysia menghidap barah payudara dimana ia merupakan penyakit kanser yang paling banyak menyerang wanita berbanding kanser lain iaitu sebanyak 29.9%.
Menurut kajian ini, barah payudara semakin meningkat dari umur 30 dan paling tinggi di usia 50-59 tahun.
Persoalannya, siapalah yang berisiko menghidap penyakit kanser ini? Terdapat pelbagai sebab dan faktor yang mempengaruhi risiko barah payudara.
1. Jantina
Wanita dan lelaki sama-sama berisiko menghidap barah payudara tetapi pastinya wanita lebih terdedah kepada penyakit ini.
Menurut kajian, dari 100,000 individu wanita kadar penyakit kanser yang menyerang wanita adalah 42.6 setiap tahun.
Manakala, kajian yang dibuat dari 100,000 lelaki mendapati 1.15 orang daripadanya berisiko menghidap barah payudara.
2. Umur
Barah paling berisiko menyerang wanita yang pra-menopaus iaitu mereka yang berumur sekitar 40 tahun dan wanita yang sudah menopaus yang berumur 50 tahun dan lebih.
3. Pernah menghidap kanser payudara
Individu yang pernah menghidap kanser payudara dan sudah sembuh berisiko diserang kanser pada payudara sebelah lagi.
Individu yang pernah menghidap kanser setempat pada lobul dan salur susu berisiko menghidap kanser yang boleh merebak seperti 'invasice berat carcinoma'.
4. Gaya hidup
Mereka yang mempunyai BMI lebih dari 25 atau obesiti lebih berisiko untuk menghidap barah payudara dan terdedah dengan risiko kematian.
Mereka yang minum arak lebih dari 10g sehari terutamanya yang berada di kelompok pascamenopaus lebih berisiko menghidap kanser payudara.
5. Terdedah kepada radiasi
Seseorang yang kerap terdedah kepada radiasi setiap hari ketika berumur kurang dari 20 tahun berisiko menghidap kanser payudara.
Sesetengah radiasi yang didedahkan hasil rawatan perubatan lain juga merisikokan anda.
Contohnya radiasi dari prosedur radioterapi terapi untuk merawat kanser lain.
6. Sejarah keluarga
Mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser cenderung mewarisi masalah yang sama.
Individu yang menjadi pembawa mutasi genetik BRCA1 dan BRCA2 juga berisiko tinggi mendapat kanser.
7. Payudara padat
Berdasarkan kajian mamografi, mereka yang mempunyai payudara yang padat berisiko 2 hingga 4 kali ganda untuk diserang kanser payudara.
8. Status reproduksi
Wanita yang datang datang haid awal iaitu sebelum berumur 12 tahun dan putus haid lewat iaitu lebih 50 tahun mempunyai risiko yang sederhana untuk diserang kanser payudara.
Wanita yang tidak pernah hamil atau hamil pertama kali lewat melebihi umur 30 tahun berisiko mendapat barah payudara .
Penggunaan pil perancang berhormon secara berpanjangan juga meningkatkan risiko menghidap barah payudara dan ovari.
Tanda-tanda barah payudara tidak dapat dikesan tetapi apabila ia semakin kritikal dan merebak, anda boleh melihat tanda-tanda berikut:
1. Terdapat ketulan dalam payudara ketika anda membuat pemeriksaan sendiri payudara.
Ketulan yang keras dan tidak normal menunjukkan terjadinya barah malignan.
2. Merasa sakit walaupun terdapat ketulan kecil.
3. Keluar cairan samada nanah atau darah dari bahagian puting.
4. Kalenjar di bahagian ketiak membengkak menandakan barah mula merebak.
5. Perubahan pada puting di mana puting terasa gatal, bengkak, tenggelam atau tertarik ke luar, berlubang dan bernanah.
6. Perubahan pada kulitdi sekitar payudara dari segi warna, suhu, bentuk dan tekstur kulit.
Kulit kelihatan menggerutu seperti kulit buah oren dan disertai lubang-lubang kecil petanda kanser sedang merebak.
Cara mencegah kanser payudara:
1. Lakukan pemeriksaan sendiri payudara
Terdapat satu teknik yang kerap disarankan kepada semua wanita untuk mengesan jika terdapat tanda-tanda tanda awal kanser iaitu dengan melakukan 'Breast self-exmination (BSE).
Kaedahnya ini adalah dengan memeriksa secara terperinci keadaan payudara dari luaran sama ada ketika mandi atau berbaring.
Caranya, picit dan periksa kesemua bahagian payudara, puting sehingga bahagian ketiak.
Pastikan tiada ketulan, cairan dan perubahan kulit yang tidak normal.
2. Menyusukan anak
Wanita yang menyusukan anak secara ekslusif didapati dapat mengurangkan risiko menghidap barah.
3. Menjalani ujian klinikal
Kebiasaannya apabila anda merujuk ke klinik untuk mengesan barah payudara, produser mamogram akan dilaksanakan.
Ujian mamogram adalah satu ujian imbasan berkuasa rendah persis x-ray untuk mendiagnosis barah payudara.
Ujian mamografi disaran dilakukan dua tahun sekali bagi mereka yang berumur antara 50-74 tahun.
Ia merupakan ujian yang dilakukan percuma oleh kerajaan di sesetengah institusi dan disubsidi oleh kerajaan negeri serta NGO.
4. Beriadah dan bersukan
Lakukan senaman berkala secara sederhana tetapi kerap untuk meningkatkan kesihatan anda.
Senaman 7 jam seminggu dapat menurunkan risiko diserang kanser.
5. Menguruskan badan
Pastikan anda sentiasa mengekalkan berat badan ideal agar anda terhindar daripada pelbagai risiko penyakit berbahaya.
Menurut kajian, ukur lilit pinggang dan nisbah pinggang-pinggul yang rendah berkesan untuk melindungi anda daripada diserang kanser payudara.
6. Dapatkan rawatan segera
Apabila anda mengesan sebarang ketulan dan keadaan yang tidak normal pada payudara dan sekitarnya ketika membuat ujian sendiri payudara (BSE), segeralah merujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan.
Kanser yang dikesan lebih awal dapat meningkatkan peluang untuk sembuh dan mengelakkan ia merebak.— EdisiRakyat.com, 30 April 2017.